SSM lancar dua platform baharu, sasar peningkatan transaksi lima peratus

SSM lancar dua platform baharu, sasar peningkatan transaksi lima peratus

AHMAD Sabki Yusof (tengah) ketika merasmikan dua plattform baharu iaitu SSM Search dan SAFEDATA-SSM, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melancarkan dua platform baharu bagi membekalkan maklumat entiti perniagaan selain memperluas kemudahan orang awam dan pihak berkepentingan di dalam serta luar negara.

Pengerusinya, Ahmad Sabki Yusof berkata, dengan penambahan dua platform portal tersebut iaitu SSM Search dan SAFEDATA-SSM, pelanggan boleh mendapatkan 37 jenis produk SSM.

Katanya, SSM juga menyasarkan peningkatan lima peratus transaksi maklumat bagi kedua-dua platform berkenaan bagi tempoh lima tahun iaitu bersamaan 27.72 juta berbanding 26.4 juta transaksi dalam tempoh sama sebelum ini.

“Melalui portal ini, mereka boleh mendapatkan produk seperti profil perniagaan, profil syarikat, maklumat kewangan syarikat dan salinan sijil pendaftaran perniagaan.

“Kesemua maklumat berkaitan syarikat dan perniagaan yang diperoleh daripada keempat-empat portal ini adalah sahih, tepat dan berdasarkan data perniagaan yang didaftarkan melalui akta-akta ditadbir oleh SSM.

“Maklumat ini memberi nilai yang signifikan kepada orang awam dan pihak berkepentingan untuk membuat keputusan perniagaan, menilai risiko dan dalam menjalinkan urusan dengan syarikat serta agensi kerajaan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Platform Baharu Pembekalan Maklumat Korporat SSM dan Perasmian SSM BizDay 2024 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), SME Corporation Malaysia dan Yayasan Inovasi Malaysia.

Terdahulu, SSM BizDay 2024 menerima 600 penyertaan yang merupakan kesinambungan strategik daripada program SSM BizDay 2022 selain membuka peluang kepada SSM mendekati golongan peniaga dan bakal usahawan.

Menurut Ahmad Sabki, setakat 31 Julai lalu, lebih 26.4 juta transaksi  direkodkan melalui MyDATA-SSM dan portal SSM e-Info yang mana angka itu dijangka meningkat menerusi platform baharu yang diperkenal.

Selain itu, katanya, SSM memperkenal pelbagai insentif untuk  meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti perniagaan mengenai kepentingan pendaftaran perniagaan, strategi perniagaan dan kaedah permasaran digital.

“Antaranya adalah Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) dan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P).

“SPPP menawarkan perniagaan percuma kepada golongan B40 dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa dengan pengecualian fi pendaftaran dan maklumat perniagaan. Malah tahun lalu ia diperluas kepada pasangan suami isteri usahawan B40 bagi menggalak sumber pendapatan.

“S1O1P pula merupakan inisiatif untuk golongan OKU mendaftarkan perniagaan dengan SSM secara percuma,” katanya.

Menurut beliau, sebanyak 123,570 perniagaan didaftarkan di bawah inisiatif SPPP termasuk 57,953 pelajar IPT sepenuh masa dan 65,617 usahawan B40 manakala sebanyak 18,707 perniagaan didaftarkan di bawah S1O1P.

“Selain itu, mengikut keseluruhan SSM, sebanyak 1,565,801 syarikat telah diperbadankan dan 9,323,469 perniagaan serta 39,783 Perkongsian Labiliti Terhad (PLT) didaftarkan setakat 31 Julai tahun ini.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 677,351 syarikat, 1,659,838 perniagaan dan 35,821 PLT adalah aktif,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN