KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia membuat aduan ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) supaya siasatan dibuat terhadap tiga buah syarikat yang didakwa terlibat dalam kes penipuan pelaburan saham i-RPS melibatkan kerugian RM80 juta.
Setiausaha Agung pertubuhan itu, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, aduan tersebut dibuat selepas mendapat laporan daripada 282 orang mangsa penipuan pelaburan tersebut.
“Syarikat-syarikat ini menggunakan imej agama dengan mempamerkan penasihat-penasihat syariah yang mempunyai reputasi terkenal di dalam dan luar negara.
“Maka orang ramai terutamanya umat Islam yang mahu melabur dalam saham patuh syariah akan tertarik. Apabila tokoh-tokoh terkenal ditampilkan, mereka pun percaya dan melabur,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Hishamuddin berkata, syarikat berkenaan juga menggunakan ejen pemasaran yang bertauliah supaya mangsa tidak mengesyaki penipuan mereka.
“Ejen-ejen ini terdiri daripada pegawai-pegawai bank yang tahu maklumat kewangan mangsa dan ini digunakan untuk mempromosikan pelaburan yang bermula daripada memperkenalkan produk bank, kemudian pelaburan luar.
“Pelabur juga dijanjikan pulangan seperti 15 peratus setahun menunjukkan satu angka yang nampak realistik,” katanya.
Tambah beliau, syarikat-syarikat tersebut juga mendakwa telah menyerahkan memo pemberitahuan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) tetapi tidak mendapat kelulusan.
“Kami berharap SSM akan membuka kertas siasatan di bawah Akta Syarikat 216, 591 dan 594 yang memperuntukkan penjara 10 tahun dan denda RM3 juta.
“Kami telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti, PDRM, Bank Negara Malaysia sebelum ini dan kini kami membuat aduan kepada SSM,” katanya.
Tambah Hishamuddin, beliau berharap pihak SSM dapat mempercepatkan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk proses pendakwaan. – UTUSAN










