TIDAK semua, tetapi ada dalam kalangan selebriti di Hollywood yang nekad menukar nama asal mereka kepada nama lain setelah memilih jalan ke pentas glamor.
Lazimnya, mereka ini mempunyai sebab-sebab tertentu dan bukanlah kerana mahu membina jambatan populariti semata-mata.
Bagaimanapun, tidak dinafikan, ada antaranya sengaja menukar nama lain kerana merasakan pilihan nama baharu itu mempunyai nilai komersial tertentu yang dipercayai mampu melonjakkan lagi kerjaya seni masing-masing.
Berikut, Pancaindera kumpulkan beberapa selebriti terkemuka di Barat yang menukar nama masing-masing dengan sebab tersendiri.

DOVE CAMERON
PELAKON dan penyanyi ini juga mempunyai kisah tersendiri mengenai nama pilihannya kini.
Semasa Dove dilahirkan, ibu bapanya memilih nama Chloe Celeste Hosterman. Bagaimanapun, semasa mendiang bapanya meninggal dunia sekitar tahun 2011, aktres ini menukar namanya kepada Dove sebagai tanda penghargaan kepada bapanya.
Bagaimanapun, menurut pelakon ini, sewaktu bapanya masih hidup, dia sering memanggilnya dengan nama Dove yang membuatkannya selesa untuk mengekalkan panggilan itu sehingga ke hari ini.

MILEY CYRUS
PENYANYI yang popular dengan lagu Climb dan Party in the USA ini sebenarnya dilahirkan dengan nama penuh, Destiny Hope Cyrus.
Anak kepada penyanyi lagu bergenre Country, Billy Cyrus ini bagaimanapun semasa kecil, disifatkan sebagai seorang yang sentiasa kelihatan gembira.
Berikutan itu, ahli keluarganya sering memanggil nama timangannya sebagai ‘smiley’. Kemudian, nama itu ditukar kepada lebih singkat iaitu Miley.
Sekitar tahun 2008, penyanyi ini membuat permohonan untuk menukar namanya kepada Miley Ray Cyrus.

ELTON JOHN
DILAHIRKAN dengan nama asal iaitu, Reginald Kenneth Dwight, penyanyi bertaraf legenda ini selesa memilih nama baharu dengan panggilan Elton Hercules John.
Keadaan itu berlaku selepas dia berasa terinspirasi dengan nama salah seorang anggota band lamanya yang juga seorang pemain saksofon, Elton Dean.
Nama John kemudiannya diambil daripada seorang kenalan lamanya, Long John Baldry.
Penyanyi lagu Candle in The Wind ini pernah menjelaskan, selepas dia menggelarkan dirinya sebagai Elton John, dia dapat merasakan kehidupannya mula berubah dari sudut yang baik.
Malah, dia lega memilih nama baharu itu kerana sebelum ini cukup benci dengan nama panggilan Reg. Menerusi Elton John, dia merasakan seperti telah dilahirkan semula.

JADA PINKETT SMITH
PELAKON ini mengambil nama Smith sebagai nama keluarga selepas berkahwin dengan aktor terkenal, Will Smith sekitar 2007.
Bagaimanapun, jauh di sudut hati wanita ini, dia khuatir kerana dengan mengambil nama Smith, ia akan memperlihatkan dirinya seolah-olah tidak mampu berdikari dan bergantung kepada populariti suaminya semata-mata.
Jada pernah meluahkan perkara ini sebelum ini dan katanya, sewaktu meletakkan nama Smith di penghujung namanya, dia sentiasa berdepan dengan dilema.
“Ini kerana, saya sentiasa percaya wanita yang kuat adalah wanita yang mampu berdiri di atas kaki sendiri dan berdikari,” katanya.
Bagaimanapun, sehingga kini, pelakon ini masih menggunapakai nama Smith meskipun terdapat khabar angin bahawa dia dan Will sudah tidak lagi tinggal sebumbung.

ANGELINA JOLIE
AKTRES terkemuka ini dilahirkan dengan nama penuhnya, Angelina Jolie Voight.
Bagaimanapun, pada 2002, Angelina membuat permohonan di mahkamah untuk menggugurkan nama bapanya.
Sebelum itu, pelakon ini kerap kali meluahkan kenyataan bahawa dia mempunyai hubungan yang tidak baik dengan bapanya, Jon Voight.
Malah, Angelina juga memberitahu, dia sentiasa dihantui dengan perasaan tertekan setiap kali berada dekat dengan bapanya dan itu termasuk merujuk kepada penggunaan nama bapanya.
Tindakan Angelina itu juga telah dicontohi anak perempuannya, Shiloh Nouvel Jolie-Pitt.
Mei lalu, Shiloh membuat keputusan untuk menggugurkan nama bapanya, Pitt kerana mempunyai hubungan yang tidak baik dengan Brad Pitt.
Permohonannya telah diluluskan mahkamah dan kini anaknya itu selesa dengan nama baharu, Shiloh Jolie.









