BUTTERWORTH : Sebanyak 48 buah motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan di kawasan sekitar Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, operasi terbabit bermula dari pukul 5 petang sehingga 12 tengah malam dengan kekuatan tiga pegawai kanan dan 31 anggota.
Katanya, operasi itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik Daerah SPU bersama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah SPU, Balai Butterworth serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPK Pulau Pinang.
“Dalam operasi yang sama, polis turut mengeluarkan sebanyak 195 keping saman atas pelbagai kesalahan.
“Daripada 67 buah motosikal yang diperiksa pula, 48 daripadanya telah disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini, hari ini.
Jelas Hamzah, pihaknya kekal komited untuk membanteras aktiviti samseng jalanan bagi melahirkan generasi pengguna jalan raya yang sentiasa patuh kepada peraturan dan undang-undang.
“Dalam hal ini, orang ramai khususnya golongan remaja diingatkan agar tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram atau apa juga aktiviti samseng jalanan yang boleh mengancam nyawa sendiri dan orang lain,” katanya.-UTUSAN










