43 GRO warga asing ditahan dalam serbuan dua pusat hiburan - Utusan Malaysia

43 GRO warga asing ditahan dalam serbuan dua pusat hiburan

BILIK rahsia di sebalik dinding sebuah tandas pusat hiburan ditemukan dalam operasi Op Gegar di Ipoh semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Cubaan 43 gadis pelayan pelanggan (GRO) menyorok dalam lapan bilik rahsia termasuk di sebalik dinding tandas yang telah diubah suai gagal selepas ditangkap dalam dua serbuan di premis hiburan di Greentown dan Taman Canning, di sini semalam.

Serbuan menerusi Op Gegar pada pukul 1.30 hingga 6 pagi itu dijalankan oleh 26 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata, dalam serbuan di Greentown, anggota penguatkuasa terpaksa memotong jubin dinding tandas di mana terdapat pintu konkrit di sebaliknya.

Katanya, operasi memotong jubin yang memakan masa hampir sejam itu telah membawa kepada penemuan sebuah bilik rahsia dengan keluasan 5 x 7 kaki.

“Bilik rahsia itu terbongkar selepas anggota penguatkuasa yang menjalankan pemeriksaan menyedari terdapat keganjilan pada dinding tandas wanita.

“Berikutan itu, anggota telah memotong jubin tandas berkenaan dan menjumpai wanita warga asing duduk berhimpit dalam bilik tanpa pengudaraan yang baik bersama dua lelaki warga Bangladesh,” katanya di sini.

Menurut beliau, serbuan sama turut dilakukan serantak di sebuah premis hiburan di Taman Canning dan menahan seramai 34 wanita warga asing disyaki GRO.

Katanya, dalam serbuan itu, lapan lelaki Bangladesh yang berkerja sebagai tukang cuci dan pelayan turut ditangkap.

“Menerusi serbuan ini, kita telah memeriksa dua pusat hiburan, daripada 176 orang warga asing yang diperiksa, seramai 53 orang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 25 wanita warga China, 16 wanita warga Vietnam dan masing-masing seorang wanita Thailand dan Indonesia serta 10 lelaki warga Bangladesh. Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 45 tahun,” ujarnya.

Tambah beliau, kesemua warga asing itu kini ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN