30 wakil syarikat bincang perkasa tadbir urus zakat 30 wakil syarikat bincang perkasa tadbir urus zakat

30 wakil syarikat bincang perkasa tadbir urus zakat

MOHD. Sabirin ketika ditemui pemberita pada program Dizkopi Zakat Selangor. - AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Lebih 30 wakil syarikat yang terdiri daripada pegawai eksekutif dan pengurusan tertinggi hadir pada sesi Dizkopi Zakat Selangor bagi mendalami isu semasa berkaitan tadbir urus zakat.

Dizkopi adalah program inisiatif strategik yang dianjurkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bermatlamat memperkukuh pengurusan dan kutipan zakat dengan menjadikannya sebagai platform untuk menghimpun pemimpin agama dan tokoh-tokoh korporat.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, fokus utama Dizkopi adalah mencari pendekatan baharu yang lebih efektif dalam meningkatkan serta memperkasa kutipan zakat seterusnya memastikan agihan zakat dilakukan dengan telus dan efisyen.

“Melalui diskusi ini, LZS turut dapat mewujudkan kerjasama erat antara institusi agama dan syarikat syarikat korporat. 

“Saya mengharapkan percambahan idea panelis sedikit sebanyak dapat menjadi pemangkin kepada inovasi dan penambahbaikan dalam menjadikan urus tadbir pengurusan zakat yang terbaik, khususnya dalam membela kebajikan asnaf serta memajukan kesejahteraan ummah amnya,” katanya pada program berkenaan di sini, hari ini.

Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan kepentingan zakat dalam kalangan pemimpin korporat selain membina rangkaian kerjasama strategik antara LZS dan sektor korporat serta memperkaya idea dan pendekatan inovatif dalam pengurusan zakat. 

Antara syarikat terlibat ialah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, Permodalan Negeri Selangor Berhad, Koridor Utiliti Selangor, Central Spektrum Sdn Bhd, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Columbia Asia dan lain-lain.

Program hari ini dimulakan dengan diskusi santai melibatkan tiga panelis utama, iaitu Mufti Selangor, Datuk Prof. Madya Dr. Anhar Opir; mantan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Nik Mohd. Hasyudeen Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Saipolyazan M. Yusop membincangkan berkenaan kepimpinan, kepentingan zakat serta peri penting integriti dan inovasi dalam pengurusan zakat dan pembangunan sosial.

Ia kemudian diteruskan dengan perbincangan meja bulat melibatkan pegawai eksekutif syarikat dan peneraju utama syarikat korporat, yang mana resolusi yang dibincangkan akan diangkat ke peringkat tertinggi LZS untuk dijadikan agenda pemerkasaan kutipan dan agihan zakat di Selangor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN