27 peratus penduduk dua kampung Ijok hidap pra diabetes - Utusan Malaysia

27 peratus penduduk dua kampung Ijok hidap pra diabetes

Pra diabetes
DZULKEFLY Ahmad menyempurnakan Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI Kementerian Kesihatan dekat Kampung Bukit Badong, Ijok, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Mengejutkan apabila sebanyak 27.5 peratus atau 22 daripada 100 penduduk Kampung Bukit Badong dan Kampung Harmoni, Ijok di sini, dikesan menghidap pra diabetes.

Kesemua individu terutama warga emas itu didapati tidak mengetahui perkara berkenaan sebelum saringan dilakukan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, data itu diperoleh menerusi ujian saringan kesihatan yang dijalankan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) sejak bulan lalu.

Menurutnya, inisiatif bagi pengesanan awal penyakit tidak berjangkit (NCD) itu dilakukan menerusi program di dua kampung berkenaan yang menjadi Kampung Angkat Madani Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pemeriksaan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengesan lebih banyak faktor risiko NCD dan boleh mencegah penyakit terutama pra diabetes.

“Kita berharap pengesanan awal penyakit itu dapat memastikan individu yang didiagnosis menerima rawatan bersesuaian kelak,” katanya selepas melancarkan Kampung Angkat Madani KKM, hari ini.

Beliau menambah, sebanyak 80 peratus daripada 100 penduduk kampung itu turut menjalankan ujian saringan NCD dan daripada jumlah itu, sebanyak 12 kes atau 15 peratus penduduk di kampung sama dikesan menghidap diabetes.

“Selain itu, kita mengesan 15 kes atau 18.7 peratus mereka yang menghidap masalah kolesterol dan lima kes atau 6.2 peratus pula menghidap penyakit darah tinggi,” jelasnya.

Katanya lagi, sebanyak 12 program kesihatan disediakan bagi Kampung Angkat Madani itu meliputi tiga teras iaitu pengesanan, pencegahan dan rawatan bersasar.

“Ia meliputi sembilan program pengesanan kesihatan antaranya saringan Malpemakanan, kesihatan mental kendiri, pengesanan awal paru-paru, kanser payudara dan kesihatan mulut.

“Sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan kepada KKM bagi pelaksanaan projek kampung angkat itu seperti menaik taraf bangunan dan infrastruktur awam dan fasiliti kesihatan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×