16 ajaran sesat dalam pemantauan di Sabah

16 ajaran sesat dalam pemantauan di Sabah

MOHD. Arifin Mohd. Arif (dua kiri) semasa sidang akhbar sempena perasmian program Minggu Perpustakaan di Keningau semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENINGAU: Kerajaan negeri melalui Pejabat Mufti Negeri Sabah telah mewartakan 16 ajaran yang menyeleweng atau ajaran sesat yang kini dipantau agar tidak tersebar dalam kalangan masyarakat di Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, yang juga Exco Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, daripada 16 ajaran sesat itu, ada beberapa kes melibatkan pengikut ajaran sesat Millah Abraham telah didakwa di mahkamah pada tahun lalu.

Beliau berkata, pengikut yang didakwa pada tahun lalu bukan berasal daripada Sabah dan kesemua mereka telah dijatuhkan hukuman.

“Kalau tidak silap pada tahun lalu, kita telah dakwa mereka di Sabah tapi, mereka bukan berasal dari Sabah. Mereka sudah dijatuhkan hukuman dan sebab itu dari masa ke semasa, kita memantau mereka.

“Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) akan bekerjasama dengan PDRM untuk memastikan gerakan ajaran sesat ini terus dipantau agar tidak berkembang di Sabah,” katanya semasa merasmikan Minggu Perpustakaan 2024, di Perpustakaan Negeri Sabah cawangan Keningau semalam.

Mohd. Arifin berkata, penyebaran ajaran Millah Abraham itu telah dikesan di beberapa daerah namun, ia masih dipantau. Sebenarnya, bilangan pengikut mereka di Sabah tidak ramai, tidak pun sampai 10 orang.

Kata beliau, ajaran sesat yang difatwakan di Sabah adalah Millah Abraham, ajaran Ilmu Makrifat; ajaran Islam Jama’ah; ajaran Qadiani; Syiah, aliran dan dakyah Wahabiah, black metal, fahaman dan ajaran Hizbut Tahrir, fahaman Liberalisme dan Pluralisme, gerakan Kumpulan Muhammadiyyah Wahabiyyah dan Itba’ Al-Sunnah, gerakan Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis), kumpulan Tal Tujuh, ajaran Bahai, Tariqah Hasaniah dan Al-Arqam melalui syarikat Rufaqa Corporation Bhd.

Turut diwartakan sebagai ajaran sesat adalah empat buku iaitu buku Islam Hadhari menurut pandangan Ustaz Ashaari Muhammad, buku ‘membela Sunnah Nabawiyyah’ karangan Abd Wahad Bustami, buku Awaluddin Makrifatullah ditulis oleh Muhammad Seman Al-Banjari serta buku-buku Mohd. Hairi Nonchi.

Pada 6 Ogos lalu, 14 individu yang dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di Batu Pahat, Johor atas pertuduhan memiliki bahan penerbitan agama bertentang hukum syarak. Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 13(1) (b) dan Seksyen 9 Enakmen Jenayah Negeri Johor 1997.

Mengenai Minggu Perpustakaan, Mohd. Arifin berkata, program yang diadakan sepanjang minggu itu akan memupuk penglibatan komuniti serta menyokong pembelajaran sepanjang hayat.

Antara aktiviti diadakan sepanjang Minggu Perpustakaan peringkat negeri termasuklah aktiviti cerita berangkai, apresiasi sastera seperti deklamasi sajak dan bengkel penulisan kreatif, pertandingan membaca braille untuk Sekolah Pendidikan khas dan pertandingan membaca bahasa Cina dan bahasa Inggeris.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN