1.8 juta pengembara jalani ujian cacar monyet - Utusan Malaysia

1.8 juta pengembara jalani ujian cacar monyet

DZULKEFLY Ahmad (dua, kanan) meninjau fasiliti dan alatan pemeriksaan kesihatan pada Majlis Penyerahan Projek Kesihatan Hospital Dungun, Klinik Kesihatan Paya Datu dan Klinik Kesihatan Kota Putera di Hospital Dungun, Dungun hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seramai 1.8 juta pengembara yang memasuki negara ini melalui pintu sempadan termasuk lapangan terbang telah dilakukan ujian saringan cacar monyet atau Mpox oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dari 16 Ogos hingga 22 Ogos lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihak kementerian bertindak mengaktifkan Bilik Gerakan Cacar Monyet di CPRC sejak 16 Ogos lalu bagi memantau dan menghindari penularan wabak cacar monyet di negara ini.

Menurutnya, bilik gerakan tersebut berperanan memantau situasi cacar monyet di dalam dan luar negara serta berkolaborasi dan koordinasi bersama negara-negara ASEAN mengenai langkah-langkah pencegahan dan kawalan.

Bagaimanapun, menurutnya, setakat ini, tiada laporan kes baharu membabitkan cacar monyet di Malaysia.

“Jumlah keseluruhan cacar monyet yang disahkan di negara ini kekal sembilan kes dan kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan terakhir ialah pada November tahun sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Dungun, Klinik Kesihatan Kota Putera, Besut dan Klinik Kesihatan Paya Datu, Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Cacar monyet ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus cacar monyet iaitu spesis di bawah genus Orthopoxvirus.

Jangkitan tersebut boleh berlaku antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.

Sementara itu, laporan situasi cacar monyet yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 12 Ogos 2024, dalam tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2024 terdapat sebanyak 99,176 kes di seluruh dunia yang membabitkan 116 negara, dengan 208 (0.21%) kematian.

Dzulkefly memberitahu, pihaknya turut menyediakan sebanyak 13 makmal bagi melakukan ujian mengesan virus cacar monyet yang berbahaya itu.

“Selain itu, beberapa langkah lain turut diambil antaranya mengedarkan garis panduan kepada semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta bagi mengesan, merawat dan rujukan terhadap kes tersebut.

“Kita juga sentiasa meningkatkan secara berterusan kesedaran awam berhubung penyakit ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, KKM akan membawa cadangan daripada Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) berhubung dengan kadar elaun tugas atas panggilan atau ‘on call’ kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipertimbangkan.

Menurutnya, pihaknya berpendapat kadar kenaikan elaun itu perlu dinaikkan dan pihaknya di Kementerian Kesihatan sepakat dan memikirkan elaun itu perlu dipertingkatkan.

“Saya sangat menyokong (kadar elaun tugas atas panggilan) dan pastinya saya akan mengemukakan syor ini kepada Perdana Menteri supaya elaun ini dipertimbangkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN