Monyet di Teluk Cempedak takutkan pengunjung

Monyet di Teluk Cempedak takutkan pengunjung

MONYET berkeliaran sekitar Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang mengganggu pengunjung beriadah ke kawasan rekreasi itu. – UTUSAN/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Gangguan monyet di kawasan rekreasi Teluk Cempedak di sini, mencetuskan kebimbangan apabila haiwan itu berani menghampiri pe­ngunjung sehingga mencuri makanan dan barangan peribadi.

Dianggarkan terdapat lebih 50 ekor monyet liar berkeliaran terutama sekitar kawasan medan selera dan laluan pejalan kaki, sekali gus mengganggu keselesaan pengunjung yang beriadah bersama keluarga.

Ada antara monyet, me­nunggu peluang ‘merampas’ makanan dipegang pengunjung selain menyelongkar beg dile­takkan di atas meja ketika orang ramai sedang menikmati hida­ngan.

Situasi itu bukan sahaja me­nimbulkan rasa takut, malah dikhuatiri mengundang kejadian lebih serius jika haiwan tersebut bertindak agresif ter­utama terhadap kanak-kanak.

Seorang pengunjung dari Kemaman, Terengganu, Nur Aisyah Khairuddin, 34, berkata, dia terkejut melihat monyet tiba-tiba meluru ke arah seorang pengunjung sebelum melarikan sebungkus makanan di tangannya.

“Memang terkejut dengan tindakan pantas haiwn itu, nasib baik tiada yang cedera. Kawasan ini memang cantik dan menjadi pilihan kami setiap kali datang ke Kuantan, namun masalah monyet perlu ditangani segera supaya pengunjung rasa lebih selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi Muhammad Hafiz Aziz, 29, dari Indera Mahkota, kejadian monyet mengganggu pe­ngunjung makin kerap berlaku.

“Tujuan saya datang hendak berehat tetapi akhirnya terpaksa sentiasa berjaga-jaga. Ia sedikit sebanyak menjejaskan imej Te­luk Cempedak sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Siti Azrina Mohd Ali, 41, berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah berkesan bagi mengawal populasi monyet di kawasan berkenaan.

“Kita faham kawasan ini memang habitat haiwan tersebut tetapi apabila bilangannya semakin banyak dan terlalu berani menghampiri manusia, ia sudah menjadi isu keselamatan. Mungkin papan tanda amaran boleh ditambah dan pemantauan dilakukan lebih kerap supaya pengunjung tidak menjadi mangsa,” katanya.

Teluk Cempedak antara destinasi pelancongan popular di Pahang yang menerima ribuan pengunjung terutama pada hujung minggu dan cuti sekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN