IPOH : Pemain Perak perlu meningkatkan perpaduan sesama mereka bagi mencapai gandingan padu untuk menghadapi perlawanan Liga Super bermula pertemuan dengan Kelantan Darul Naim di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.
Ketua Jurulatih Perak FC, Mohd. Yusri Che Lah berkata, anak buahnya harus lebih bersatu demi mendapatkan kejayaan dalam perlawanan itu nanti.
“Pemain perlu bertindak sebagai satu unit padu. Perlu ada interaksi semasa antara mereka.
“Sebarang bentuk kesilapan sebelum ini harus segera diperbaiki dan setiap peluang yang hadir diterjemahkan menjadi jaringan,” katanya.
Sehubungan itu, Yusri berkata, pemain perlu lebih memberikan komitmen di dalam dan luar padang, terutamanya ketika latihan.
Katanya, pemain harus lebih kerap bercakap dan memberikan pendapat masing-masing untuk mendapatkan keserasian di antara mereka.
Yusri sedar keadaan itu amat berkurangan dalam kalangan anak buahnya menyebabkan persefahaman pasukan longgar.
“Kami perlu bertindak sebagai satu unit padu bagi menghasilkan kejayaan,” katanya.
Yusri juga mengingatkan pemain supaya tidak bersikap terlalu yakin walaupun bertemu pasukan dari kelompok bawahan. – UTUSAN










