Waris Allahyarham Huzz terima faedah pencen penakat

Waris Allahyarham Huzz terima faedah pencen penakat

Mohamad Asri Ngosman menyampaikan Faedah Pencen Penakat kepada Noor Hamid, ibu kepada Allahyarham Kamal Huzaini Kamaludin di kediamannya di Taman Ampang Jaya, Kuala Lumpur pagi ini. -UTUSAN/M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyampaikan faedah pencen kepada waris bekas wartawan hiburan terkenal, Kamal Huzaini Kamaludin atau lebih dikenali sebagai Huzz yang meninggal dunia 8 Jun lalu.

Pengarah Pejabat Perkeso Kuala Lumpur, Mohamad Asri Ngosman berkata, semakan pihaknya mengesahkan Allahyarham adalah seorang pencarum yang berdaftar di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan berikutan itu ibunya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat bawah Skim Keilatan.

Menurutnya, rekod Perkeso juga mendapati Allahyarham pernah membuat permohonan tuntutan Pencen llat di bawah Skim Keilatan Akta 4 pada 27 Mei lalu, namun kes permohonan tidak sempat dibawa ke sidang Jemaah Doktor selepas Huzz disahkan meninggal dunia.

“Meskipun permohonan Pencen Ilat tidak sempat diproses, rekod caruman Perkeso yang dibuat bukan perkara sia-sia.

“Ini kerana, waris Allahyarham juga layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta pencen Penakat sebanyak RM1,027 setiap bulan yang diberikan kepada ibunya, Noor Hamid.

“Ibu Allahyarham akan menerima pencen berkenaan setiap bulan, sehingga ke akhir hayat,” katanya dalam sesi Ziarah Prihatin bersama Skuad Perkeso Prihatin (SPP) Kuala Lumpur di kediaman Allahyarham di Ampang Jaya, hari ini.

Tambahnya, waris keluarga Allahyarham adalah antara penerima terawal yang menerima peningkatan jumlah bayaran FPM daripada RM2,000 kepada RM3,000 selepas pindaan ini dikuatkuasa 1 Jun lalu.

Allahyarham Huzz meninggal dunia pada usia 58 tahun di kediaman abangnya di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Allahyarham dilaporkan pernah menerima rawatan di Unit Onkologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Mac 2024 dan disahkan menghidap kanser usus tahap empat, sebelum dilaporkan berada dalam jagaan keluarga.

Allahyarham pernah menyertai Kumpulan Media Karangkraf dan bertugas bagi majalah Media Hiburan.

Allahyarham turut menyertai Utusan Melayu (M) Berhad sebagai wartawan majalah URTV dan dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarang Majalah Mangga dan jawatan terakhir Huzz adalah sebagai editor kanan Utusan Karya.

Beliau juga pernah bertugas sebagai pengarang majalah URTV dan turut popular menerusi ruangan Sensasi Huzz dalam sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia sebelum bersara sepenuhnya selepas syarikat berkenaan menutup operasi pada 2019. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN