PASIR SALAK: Wanita UMNO Pasir Salak meluluskan usul supaya penggantung keahlian parti itu terhadap bekas Ketua UMNO bahagian, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.ditarik balik.
Ketua Wanita UMNO bahagian, Datuk Seri Rahayu Tajuddin berkatanya, penarikan penggantungan keahlian Tajuddin, yang juga bekas Ahli Parlimen Pasir Salak akan memperkukuhkan UMNO bahagian itu.
“”Penarikan balik penggantungan beliau pastinya akan memberi kelegaan kepada penyokong setianya dan memperkukuhkan UMNO bahagian ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak di sini hari ini.
Mesyurat dirasmikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.
Sementara itu, Md. Alwi berkata, beliau akan membawa usul tersebut kepada Majlis Tertinggi UMNO yang akan membuat keputusan.
“Itu kena serah kepada pucuk pimpinan, mereka ada kaedah sendiri tapi suara Wanita UMNO bahagian ini tadi yang meminta supaya penggantungan ditarik, saya akan bawa kepada Majlis Tertinggi, itu keputusan pucuk pimpinan.
“Itu (usul) suara Wanita, tugas saya kena bawa suara itu kepada pucuk pimpinan parti,” katanya.
Tajuddin yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada Wanita UMNO Bahagian yang membawakan usul tersebut.
“Dia (Md. Alwi) akan bawa usul ke Majlis Tertinggi, jadi terima kasih atas sokongan mereka, mudah-mudahan akan jadi kenyataan. Mudah-mudahan apa yang diusulkan diterima dan diluluskan,” katanya.
Tajuddin yang digantung keahlian selama enam tahun sudah mengemukakan rayuan dan mahu kembali aktif dalam parti.
Turut digantung keahlian selama enam tahun ialah Ahli Perlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Hussein. – UTUSAN










