AUSTIN: Seorang wanita di Texas dihukum penjara selama 15 tahun selepas didapati bersalah menggelapkan wang geran tentera bernilai AS$109 juta (RM509 juta) untuk membiayai kehidupan mewahnya termasuk membeli 82 buah kenderaan berjenama.
Dalam satu kenyataan oleh Pejabat Peguam di Texas, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman itu terhadap Janet Yamanaka Mello, 57, yang mengaku bersalah atas lima pertuduhan jenayah memalsukan dokumen dan lima dakwaan membuat tuntutan cukai palsu.
Menurut dokumen mahkamah, Mello yang berkerja sebagai pengurus Program Rekreasi dan Kebajikan Tentera di Pangkalan Tentera Sam Houston di San Antonio melakukan kesalahan tersebut selama enam tahun antara Disember 2016 hingga Ogos tahun lalu.
Dia antara lain bertanggungjawab menyelia pemberian dana dari Geran Perkongsian Tentera 4-H kepada pihak-pihak memerlukan terutama bagi program kanak-kanak, remaja dan perkhidmatan sekolah anak tentera.
USA Today melaporkan, Mello menubuhkan syarikat Pembangunan Sepanjang Hayat Remaja dan Kesihatan Kanak-Kanak bagi memohon lebih 40 geran menerusi program berkenaan untuk mengelakkan penipuannya dikesan.
Dalam modus operasinya, dia menyediakan dokumen palsu bagi memohon geran untuk kegunaan anak-anak tentera sebelum ia diluluskan pihak atasan dan menerima cek melalui syarikat yang ditubuhkannya.
Wang yang diperolehi kemudian digunakan secara peribadi antaranya membeli barangan kemas bernilai AS$788,000 (RM3.7 juta), sebuah hartanah di Canyon Lake, Texas yang berharga AS$3.3 juta (RM15 juta) dan sebuah kereta Range Rover bernilai AS$264,000 (RM1.23 juta).
Selain itu, Mello turut memiliki sebuah kereta Maserati, Mercedes serta sebuah motosikal Ferrari Fratelli. – AGENSI










