BUTTERWORTH : UMNO Pulau Pinang akan menghantar surat bagi menggesa kerajaan negeri menghentikan penggunaan kadar tarif air baharu yang membebankan rakyat di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, usul terbabit dilaksanakan oleh UMNO Bukit Mertajam menerusi mesyuarat perwakilan bahagian itu selain menggesa satu kajian dibuat terhadap impak serta kebajikan rakyat.
Katanya, walaupun kerajaan negeri telah memberikan subsidi atau rebat bagi kategori tertentu, namun, rakyat masih terkesan dengan kenaikan tarif baharu itu selepas ia dilaksanakan Februari lalu.
“Kenaikan sama ada sikit atau banyak tetap membebankan rakyat. Maka, kita minta hentikan dahulu tarif baharu ini dan buat kajian untuk kebaikan atau kebajikan rakyat negeri ini.
“Ini suara akar umbi yang perlu kerajaan beri perhatian dan UMNO Pulau Pinang akan menyusul dengan surat untuk membawa perkara ini kepada perhatian kerajaan negeri dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di Perai yang dirasmikan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Ketua Menteri Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa kadar tarif air di Pulau Pinang merupakan kekal kedua terendah di negara ini selepas Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan kadar tarif baharu bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Kon Yeow berkata, kadar tarif air baharu yang diumumkan di beberapa negeri bertujuan menjana hasil yang boleh menampung projek infrastruktur.
SPAN sebelum itu mengumumkan purata kadar baharu di Pulau Pinang untuk penggunaan domestik air sehingga 35 meter padu (m3) sebulan ialah RM1.17 bagi setiap m3 iaitu 1,000 liter dan caj minimum setiap bulan ialah RM6.20.
Pada 6 Jun lalu, kerajaan negeri meminta Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk memberikan rebat dalam bentuk air percuma sebanyak 10,000 liter pertama bagi setiap bil air selama enam bulan dan meluaskan skim Rebat Mesra Keluarga RM20 bagi isi rumah besar.-UTUSAN










