ALOR SETAR: UMNO akan menghadapi keadaan yang lebih teruk berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya parti itu tidak menyelesaikan punca yang menyebabkan orang Melayu, pengundi teras dan pengundi muda yang kini meninggalkan mereka.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, fakta itu tidak boleh dinafikan jika diukur berasaskan keputusan beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU15 yang lalu.
Menurut beliau, jika UMNO mahu kembali menjadi kuat, parti yang berpengalaman lebih 60 tahun memerintah negara itu perlu membina semula imejnya dan mesti dilihat sempurna, bersih, berintegriti, kukuh, bersatu padu, mesra pada rakyat dan pelbagai nilai positif lain.
“Memang benar UMNO parti terbesar di negara ini jika diukur berdasarkan keahliannya. Namun jika dinilai tahap sokongan rakyat kepada UMNO pada waktu ini, keadaannya berbeza.
“Melihat kepada reaksi rakyat terutama keputusan beberapa siri pilihan raya, ternyata UMNO dan Barisan Nasional (BN) mesti segera mengkaji semua aspek dan mengatur strategi berasaskan fakta, data yang tepat serta realiti sebenar.
“Jika UMNO tidak menyelesaikan punca yang menyebabkan orang Melayu, pengundi teras dan pengundi muda yang ternyata meninggalkan UMNO, saya bimbang UMNO akan menghadapi keadaan yang lebih teruk berbanding PRU15,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Jerlun.
Tambah Timbalan Menteri Dalam Negeri itu, UMNO juga mesti segera mengubah pendekatannya menghadapi rakyat kerana semua realiti telah berubah serta tidak lagi hanya menumpukan program dalam lingkungan ahli tanpa memfokuskan kelompok rakyat.
Ujar beliau, UMNO tidak boleh bertindak tanpa strategi yang tepat dan hanya berasaskan andaian semata-mata sebaliknya perlu melakukan apa yang rakyat inginkan.
“Kekuatan UMNO selama ini adalah atas sokongan kuat daripada orang Melayu dan Bumiputera serta kaum-kaum lain melalui rakan dalam BN. Kelebihan inilah yang menjadikan UMNO sebuah parti yang digeruni lagi dihormati.
“Namun persoalan yang perlu UMNO jawab dan mencari jalan penyelesaian adalah kenapa mutakhir ini sokongan Melayu dan pengundi teras, pengundi muda kepada UMNO-BN semakin kurang biarpun pelbagai program dan perkara telah dilakukan,” katanya. -UTUSAN










