Tiada peningkatan kes rotavirus di HSNZ - Utusan Malaysia

Tiada peningkatan kes rotavirus di HSNZ

KASEMANI EMBONG KASEMANI EMBONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan dakwaan yang tular pada Sabtu lalu kononnya terdapat peningkatan kes rotavirus di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, siasatan lanjut telah dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Terengganu berhubung perkara tersebut.

Menurutnya, siasatan mendapati hanya dua kes sahaja yang telah disahkan mendapat jangkitan rotavirus di HSNZ pada Minggu Epidemiologi ke-28 ( bagi tempoh 7 Julai 2024 hingga 13 Julai 2024).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kedua-dua kes berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang setelah mendapatkan rawatan di HSNZ.

“Sehingga kini, tiada peningkatan kes rotavirus di HSNZ seperti yang ditularkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, Rotavirus adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan sistem pencernaan.

“Rotavirus boleh berjangkit apabila termakan najis individu yang dijangkiti (faecal-oral) sama ada melalui air atau makanan yang tercemar, sentuhan secara langsung dengan individu yang dijangkiti, atau melalui alat permainan, peralatan dan permukaan yang tercemar.

“Gejala utama yang dialami oleh pesakit biasanya ringan kecuali bagi kanak-kanak kerana boleh menyebabkan demam, cirit-birit dan muntah teruk yang boleh menyebabkan dehidrasi (kurang air dalam badan).

“Bagi yang bergejala teruk, rawatan segera amat diperlukan kerana dehidrasi boleh menyebabkan kematian,” katanya.

Kasemani berkata, jabatan akan sentiasa memantau perkembangan terkini kejadian jangkitan rotavirus serta penyakit-penyakit berjangkit yang lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini