Tiada niat fitnah Guan Eng, ia hanya penjelasan kepada media - Muhyiddin

Tiada niat fitnah Guan Eng, ia hanya penjelasan kepada media – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes saman Lim Guan Eng terhadapnya. UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, isu pembatalan pengecualian cukai terhadap sebuah yayasan kebajikan bukan bertujuan memfitnah Lim Guan Eng sebaliknya merupakan penjelasan kepada pihak media berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya.

Ahli Parlimen Pagoh itu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau hanya menjawab soalan sekumpulan wartawan bagi menjelaskan kedudukannya selepas dipanggil memberi keterangan kepada SPRM pada 9 Mac 2023.

Ujar beliau, penerangan kepada media adalah berkaitan isu projek Jana Wibawa serta pembatalan pengecualian cukai terhadap yayasan kebajikan tersebut, iaitu jawapan sama diberikan kepada SPRM ketika siasatan.

“Projek Jana Wibawa adalah kontrak untuk membantu syarikat bumiputera semasa pandemik Covid-19 manakala yayasan itu memohon kepada saya supaya pengiktirafan pengecualian cukai dapat diberikan semula.

“Saya telah diberitahu bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf kelulusan pengecualian cukai yang diberikan dahulu. Jadi, semasa saya berjawatan Perdana Menteri, yayasan itu membuat rayuan kepada saya.

“Oleh itu, saya tidak berniat untuk menuduh atau memfitnah sesiapa atau sengaja mencapai publisiti murahan mahupun bertujuan mengalih perhatian awam terhadap siasatan SPRM,” ujar beliau dalam pernyataan saksinya.

Bekas Perdana Menteri itu memberi keterangan pada perbicaraan kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Guan Eng terhadap beliau atas dakwaan mengeluarkan tiga kenyataan fitnah berhubung pembatalan pengecualian cukai ke atas organisasi berkenaan.

Muhyiddin menjelaskan, yayasan tersebut telah diberi kelulusan pengecualian cukai ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN), namun LHDN yang mana Guan Eng ketika itu Menteri Kewangan (pentadbiran Pakatan Harapan) membuat keputusan untuk tidak mengiktiraf pengecualian cukai itu.

“Yayasan itu tidak perlu membuat rayuan kepada saya semasa pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika pengecualian cukai itu masih diiktiraf LHDN,” ujar beliau.

Ujar Muhyiddin, surat rayuan daripada yayasan berkenaan diterima di antara 5 dan 8 Februari 2021 menyatakan pengecualian cukai diberikan di antara 2016 hingga 2018, namun LHDN ingin mengenakan semula cukai tambahan.

Guan Eng sebelum ini memberi keterangan bahawa beliau tiada pilihan selain menyaman Muhyiddin kerana enggan memohon maaf selepas memfitnahnya berhubung isu pembatalan pengecualian cukai terhadap sebuah yayasan kebajikan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengulangi kenyataan fitnah sebanyak tiga kali walhal bukan beliau mengeluarkan pembatalan pengecualian cukai tersebut.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 27 Mac 2023, Guan Eng berkata, Muhyiddin ditahan SPRM pada 9 Mac 2023 dan dibebaskan dengan jaminan pada sebelah petang.

Katanya, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah pada hari sama diikuti pada 11 dan 12 Mac 2023 di dalam Facebook miliknya dan kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, kenyataan fitnah berkenaan antaranya bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila ia tidak patut dikenakan cukai.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain bersambung esok. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×