Tiada kertas dasar kenaikan RON95

Tiada kertas dasar kenaikan RON95

ANWAR Ibrahim - FOTO/JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan me­nge­sahkan setakat ini belum ada kertas dasar terhadap pelak­sa­­naan rasionalisasi petrol RON95.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tum­puan kerajaan pada masa ini ialah meneliti kesan penyasaran subsidi diesel yang diumumkan baru-baru ini dan menyelesaikan isu-isu berbangkit.

“Setakat kini belum ada kertas dasar (rasionalisasi RON95) yang boleh kita laksanakan de­ngan cepat, itu boleh saya beri­tahu.

“Ada kajian dari dahulu tetapi kita fikir perlulah lihat langkah diambil berkenaan elektrik, ayam, penyasaran diesel.

“Kita tengok kesannya dahu­lu dan lihat reaksi rakyat, kemudian baharulah kita bersedia dan berunding apakah ke­perluan,” katanya dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, menjadi keutamaan kerajaan hari ini menghentikan subsidi kepada orang kaya dan orang asing iaitu yang menjadi satu ketetapan tiada tolak ansur.

“Bagaimana kaedahnya, kita kena fikir agar tidak bebankan rakyat Apakah kemungkinan untuk masa-masa akan datang, saya tidak menolak apa-apa kemungkinan. Yang boleh saya nyatakan sekarang, seluruh fokus kita adalah penyasaran subsidi diesel,” katanya.

Anwar menegaskan, mana-mana kerajaan sekalipun tidak menolak langkah penyasaran dan rasionalisasi subsidi amat penting untuk masa depan negara di samping mahu pelaksanaannya tidak membebankan rakyat.

Bagaimanapun, katanya, ia memerlukan tekad dan iltizam kerajaan kerana tiada pihak sanggup berbuat demikian dan mengatakan tidak bersedia kerana mengetahui kesan suhu politik yang bakal dihangatkan.

“Masa Yang Berhormat dan rakan-rakan di sebelah sini, semua hendak buat penyasaran subsidi. Ia disebut semua Perdana Menteri termasuk disokong Yang Berhormat.

“Jadi, jangan bangkit seolah-olah salah dari segi dasar penyasaran subsidi. Sebab itu kita ambil pendekatan lebih tawaduk, ada kelemahan kita perbaiki, perlu suntikan, kita beri suntikan. Kita tidak akan kata kita ini sempurna kerana penyasaran subsidi sukar dilaksanakan.

“Kalau tanya saya, RON95 kita perlu laksanakan lama tetapi tidak mudah sebab masalah 3.8 juta warga asing ambil pakai minyak ini, orang kaya pakai kereta Rolls-Royce pakai minyak ini yang kita beri subsidi.

“Jadi, bagaimana hendak selesaikan bertahun-tahun? Yang Berhormat Kubang Kerian dalam Kabinet pun bincang perkara ini, tetapi menyelesaikan itu sukar, samalah kita hadapi sekarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN