GEORGE TOWN: Tiada kebakaran baharu dikesan di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Nibong Tebal dekat sini selepas satu kebakaran baharu di tapak itu dapat dipadam sepenuhnya semalam.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kebakaran yang berlaku pada tengah hari semalam itu ketika ini telah berjaya dikawal sepenuhnya.
“Kebakaran mula berlaku pada tengah hari semalam dan pada waktu malam, keadaan bagaimanapun sudah terkawal.
“Tidak ada kebakaran baharu sejak pagi tadi dan kawasan tersebut dipantau rapi oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBPP),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Eksport Pulau Pinang 2024 di Bayan Lepas, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Seramai 117 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bersama pasukan bomba sukarela serta petugas Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) terlibat dengan operasi memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, semalam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye, berkata kebakaran yang dikesan berlaku kira-kira jam 12.05 tengah hari semalam itu berjaya dipadam sepenuhnya oleh pasukan penyelamat pada malam tadi.
Terdahulu, tapak pelupusan sampah itu pernah terbakar pada Januari 2022 yang membabitkan kawasan seluas lebih 8,000 meter persegi.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, cuaca panas pada masa ini dikesan menjadi punca berlakunya kebakaran di tapak pelupusan sampah tersebut.
“Kebakaran berlaku kerana cuaca panas. Tapak tersebut terbuka dan ia terdedah kepada risiko kebakaran dalam keadaan cuaca panas sekarang ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri masih mengadakan perbincangan dengan kerajaan pusat mengenai sama ada Pulau Pinang akan menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
“Sebarang dasar berkaitan dengan pengurusan sisa perlu diselarikan dengan keputusan sama ada kita akan menerima pakai Akta 672 ini.
“Keputusan sama ada kita menerima atau tidak Akta 672 ini akan dimuktamadkan dalam tempoh beberapa bulan lagi, mungkin keputusannya dalam tahun ini juga,” katanya.-UTUSAN










