SAYA fikir Zamri Ismail yang berkongsi di Facebook EP penuh Luar Kavvalan pada penghujung 2022.
Waktu itu, saya sedang aktif meneroka terbitan tempatan untuk dimasukkan dalam senarai sulung Album/EP Terbaik Pilihan Rondivu 2022. EP penuh yang dimuat naik di Youtube itu saya dengar dengan teruja.
TETVANGVDARA sejujurnya, memberikan saya dilema waktu itu. Saya belum dapat membangunkan ‘rubrik’ lengkap untuk menilai album atau EP yang mahu dimasukkan dalam senarai. Yang pasti, saya mahu sesuatu yang segar.
Tapi TETVANGVDARA tidaklah segar – menurut fahaman lazim terhadap perkataan segar itu sendiri – sebab muzik mereka sudah biasa didengari dalam lapangan muzik independen tempatan, mahupun ranah alternatif antarabangsa.
Gaya indie rock/pop yang dibawa kugiran Ipoh itu tidak janggal di telinga tetapi ada sesuatu yang unik.
Saya masih ingat: sambil menunggu kawan di kedai mamak di Pantai Dalam, saya melekat dengan korus-korus EP Luar Kavvalan dan terus buat keputusan, EP itu wajib masuk dalam senarai.

Hiatus muzik
TETVANGVDARA dibentuk dua rakan yang masing-masing punya pengalaman muzik sendiri.
Azahari Zubir, yang orang panggil Chor, bermain dram dan menyanyi. Dia pernah bersama kugiran The Hans (antara kugiran yang disertai Herri Hamid sebelum meletup dengan Bittersweet) dan Suka No. 23.
Yusof Maaruf pula bermain gitar. Petik gitarnya pernah membingit dalam lagu kugiran shoegaze Ipoh, Soft.
Kedua-dua mereka keluar dari hiatus muzik selama beberapa tahun untuk bikin TETVANGVDARA.
“Nak cerita peribadi macam tak best,” kata Chor, ketika saya cuba mengorek punca dia meninggalkan muzik buat seketika.
Secara mudahnya, Chor mahu fokus pada keluarga. Dia berkahwin, kemudian ada anak. Fasa penting pembinaan keluarga itu mahu diberi keutamaan sebaiknya, maka ghairah muziknya ditinggalkan buat seketika.
Sehinggalah dia bertemu Yusof. Selalu melepak bersama, berkongsi minat tentang muzik dan akhirnya mereka buat keputusan untuk bikin kugiran.
Manis berkarat
Setiap kali bercerita tentang Fathullah Luqman Yusof, saya akan memetik ayat keramatnya: “Dari diri yang mahu attention darimu”.
Tapi Chor tertarik pada satu lagi ayat renyam kreatif dari Fathul: “Mama…kuingin terus main cinta sama bakal ibu cucumu”.
Ayat itu dari lirik lagu R.I.N.D.U oleh Fathullistiwa Soundscape, antara trek yang betul-betul merakam ragam bercinta generasi cinta SMS 2000-an dalam album Romantikarat.
Fathul antara inspirasi Chor dalam menulis lirik untuk TETVANGVDARA. Sebab itu dalam beberapa lagunya, terselit juga lirik manis renyam berkarat.
Seperti baris pembuka MBJD (Moga Bahagia Jaga Diri): “Dari penjuru acara / aku mencuri pandang / benar gaya milik dia / yang dulu buatku huru-hara”.
Saya bertanya pada Chor, dalam nada bergurau tapi sebenarnya serius, tentang penulisan liriknya yang manis bergetah sedangkan dia tidak lagi muda, malah berstatus bapa orang.
“Mungkin saya nak tarik pendengar yang baru nak membesar. Semasa remaja, mereka tengah lara, jumpa awek, jadi mereka perlu lirik-lirik macam ini,” kata Chor.
Tapi yang betul-betul buat saya tertarik pada kali pertama mendengar ialah lirik Luar Kavvalan, pada baris “tidur selimut sebantal”. Ia permainan kata yang ringkas tetapi menarik.
Puas diri dulu
TETVANGVDARA mengambil inspirasi yang pelbagai daripada hero-hero muzik mereka lalu membentuk identiti tersendiri. Karya mereka belum banyak tetapi potensi untuk menjadi kugiran dengan gaya penulisan yang diingati itu ada.
Melodi pop yang bercangkuk dari Chor dan Yusof mudah diterima. Lirik Chor juga bersahaja dan mudah dihadam. Baris gitar Yusof menjadi penguat identiti yang, bagi saya, memberi warna paling terang untuk TETVANGVDARA.
Namun, semua itu bukanlah jaminan untuk mereka terus menjadi ‘kugiran berjaya’. Selepas empat tahun tertubuh dan dua tahun melancarkan EP, mereka menikmati laluan perlahan sebagai kugiran.
“Kami buat (muzik) lebih untuk puaskan diri. Kalau orang tertarik, tertariklah. Kita tak tahu, sebab lagu, kan?” kata Chor tenang.
“Mereka kini dalam proses penulisan untuk album sulung. Sasaran awalnya untuk memuatkan tujuh lagu tapi bagi Yusof, kalau boleh, dia mahu 10.
“Ini pengalaman pertama kami buat sendiri. Kalau boleh, nak buat lebih daripada ini (EP). Tak nak ada apa-apa yang tertinggal,” kongsi Yusof.
Sebab itu mereka tidak meletakkan sasaran masa yang spesifik untuk menerbitkan album tersebut. Mereka mahu ambil masa secukupnya untuk belajar sebanyak mungkin perkara dalam penerbitan album.
Bukan kesilapan
Peluang bertemu TETVANGVDARA membuatkan saya yakin bahawa keputusan meletakkan EP mereka dalam senarai Rondivu dua tahun lalu bukanlah satu kesilapan.
Penilaiannya lebih kepada gerak hati sebenarnya, sebab saya ketika itu belum faham estetik muzik indie mahupun lirik bersahaja yang mereka bawa. Apatah lagi mahu faham estetik lo-fi – tentang penyanyi yang bukan penyanyi, seperti gaya nyanyian Chor yang tidak mengutamakan kemerduan.
Saya hanya fikir, lagu-lagu mereka memikat hati, maka perlu disenarai supaya lebih ramai orang cuba dengar.
Ternyata ia pilihan tepat sebab Chor dan Yusof ada sikap independen dan alternatif yang sesuai dengan apa yang saya mahu. Itulah inti wujud Rondivu dan senarai-senarai yang diusahakan selama dua tahun ini.










