KUALA TERENGGANU: Pemberian subsidi 20 meter padu air kepada 11,832 akaun pengguna golongan B40 di Terengganu tetap diteruskan walaupun kerajaan negeri berdepan ketidaktentuan penyaluran royalti.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian subsidi tersebut adalah antara inisiatif kerajaan negeri dalam mengurangkan beban kewangan rakyat berpendapatan rendah di negeri itu sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, pemberian subsidi 20 meter padu air itu adalah tanggungjawab sosial yang terhadap rakyat yang perlu dilaksanakan.
“Kita masih lagi mengikut perancangan yang telah dibuat untuk golongan B40 termasuk meneruskan pemberian subsidi air walaupun berlaku sekatan royalti.
“Pemberian ini masih diberikan termasuk kepada masjid-masjid dan golongan B40 kerana ini adalah tanggungjawab sosial dari kerajaan negeri yang perlu dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan 25 Tahun Jubli Perak Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU), di sini, hari ini.
Setakat Januari lalu, sebanyak 11,832 akaun pengguna golongan B40 di Terengganu menerima subsidi air untuk 20 meter padu dengan kos tanggungan dari kerajaan negeri sebanyak RM1.2 juta setahun.
Pemberian itu juga meliputi masjid dan surau yang berdaftar melibatkan 1,883 akaun dengan anggaran kos tanggungan bernilai RM1.4 juta setahun.
Sementara itu Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata, SATU telah merancang untuk menjadi sebuah syarikat perkhidmatan bekalan air terkemuka di negara kita, di rantau ini dan di peringkat antarabangsa.
“Sebagaimana yang disebut oleh Ketua Pegawai Eksekutif SATU tadi bahawa antara perancangan yang sedang dibuat ialah untuk menubuhkan fasiliti pendidikan iaitu Akademi SATU.
“Ia adalah sebagai usaha membina modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi yang berteraskan inovasi IR 4.0 sekaligus bertepatan dengan landskap pendidikan semasa,” katanya. – UTUSAN










