KUALA TERENGGANU: Pengasingan tempat duduk khas kepada penyokong wanita di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bermula malam ini bukanlah diwajibkan sebaliknya ia hanya satu pilihan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua pihak perlu memandang langkah itu dari aspek positif, bukannya negatif semata-mata.
Menurutnya, ia adalah satu pilihan untuk keselesaan penonton sepanjang perlawanan bola sepak berlangsung.
“Ini masalah kita sekarang, apabila hendak buat satu inisiatif yang baharu, semua akan melihatnya dari segi yang negatif, kenapa tak cuba lihat dari segi positifnya (pelaksanaan tersebut).
“Ini hanya pilihan, bukan bermaksud siapa yang nak masuk situ kita akan tahan (dan asing ikut jantina), bukan macam itu.
“Sama macam di Kuala Lumpur pun, ada koc khas untuk wanita, parking khas untuk wanita (di pusat beli-belah), jadi kenapa nak ditimbulkan polemik yang sebegitu sedangkan koc wanita bukan sehari dua ni, ia dah lama dan berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai polemik negatif yang ditimbulkan sesetengah pihak setelah perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, semalam.
Terdahulu, Ahmad Samsuri merasmikan Pameran Muto & Kenangan di Muzium Negeri Terengganu dekat Losong, di sini, hari ini.
Semalam, Hishamuddin memaklumkan, tempat duduk khas untuk wanita itu adalah bagi mengurangkan percampuran dengan penonton lelaki ketika perlawanan bola sepak berlangsung.
Langkah itu diambil bagi memberi keselesaan kepada golongan wanita dan yang datang bersama keluarga.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menegaskan, setiap pelaksanaan mesti diteliti dari aspek negatif dan positifnya.
“Dalam hal ini, banyak aspek positif dan itu yang perlu dilihat semua pihak,” katanya. – UTUSAN










