Takut kalah punca enggan kosongkan 6 kerusi Parlimen

Takut kalah punca enggan kosongkan 6 kerusi Parlimen

MUHYIDDIN Yassin semasa tiba di Konvensyen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2024 di Pusat Konvensyen Ideal, Selayang, Selangor, semalam. – MINGGUAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Kerajaan Perpaduan takut mengi­sytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana bimbang menghadapi kekalahan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebab itu mereka sanggup melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan walaupun bertentangan asas perjuangan pihak tersebut selama ini.

Katanya, jika kekosongan berlaku, parti Kerajaan Perpaduan bimbang mengulangi drama kekalahan teruk sepertimana ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap minggu lalu.

“Walaupun mereka berkuasa, mereka sebenarnya lemah, amat lemah. Saya tidak pernah lihat dalam sejarah politik saya parti kerajaan boleh kalah dengan begitu teruk dalam pilihan raya kecil. Dengan segala kuasa yang ada pada mereka, aneh mereka kecundang sebegitu rupa.

“Kerana itulah mereka takut hendak mengisytiharkan kekoso­ngan enam kerusi Parlimen dan satu DUN yang disandang bekas ahli Bersatu berpaling tadah walaupun tindakan itu bertentangan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada Konvensyen Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal, Selayang dekat sini, semalam.

Muhyiddin berkata, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) kini terus mendapat sokongan rakyat yang sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan semasa.

Katanya, data menunjukkan sokongan rakyat kepada gabungan parti itu semakin kuat menerusi peningkatan undi dalam pilihan raya negeri (PRN) dan siri PRK selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Kenapa rakyat tidak percaya kepada mereka? Kerana rakyat melihat mereka tidak ada prinsip. Cakap mereka bohong. Dulu cakap lain, sekarang buat lain.

“Dulu kecam wakil rakyat yang bertukar parti walaupun tindakan itu dibenarkan oleh Perlembagaan, sekarang bela pelompat parti walaupun perbuatan itu jelas salah di sisi Perlembagaan,” katanya.

Semenatra itu di Kuala Nerus, Terengganu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kerajaan Perpaduan tidak gerun berdepan PN dan sedia bertarung sekira­nya berlaku PRK di enam Parlimen berkenaan.

“Bukan kerana itu (takut kalah), kita rasa keenam-enam kerusi ini dulu adalah kerusi UMNO dan kalau (diumumkan) kosong pun UMNO akan bertanding.

“Dalam politik mana boleh takut (dan) saya melihat pengumuman Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul terhadap kedudukan keenam-enam ahli Parlimen yang digugurkan daripada Bersatu dibuat mengikut Perkara 49 dalam Perundangan Malaysia,” katanya.

“Mungkin ada dalam kalangan mereka yang akan dicabar mengemukakan bukti. Itu kita serahkan kepada mana-mana pihak untuk membawa ke mahkamah,” katanyan selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Nerus semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau yakin tidak ada ahli politik daripada Kerajaan Perpaduan akan berpaling tadah pada kerajaan sedia ada berikutan keputusan Johari itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×