Taktik simpan rokok seludup RM200,000 di rumah terbongkar

Taktik simpan rokok seludup RM200,000 di rumah terbongkar

PENOLONG Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail (kanan) menunjukkan rokok yang dirampas pada sidang media kejayaan rampasan JKDM Zon Tengah Unit 1 (WPKL) menyita 16 unit kenderaan langgar syarat gudang berlesen dan melumpuhkan sindiket pembekalan rokok seludup di JKDM Kelana Jaya. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Taktik sindiket menggunakan kediaman sebagai tempat menyimpan bekalan rokok putih dan kretek bernilai RM203,120 terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja (JKDM) menyerbu sebuah rumah teres bertingkat di Taman Shahzan, Kuantan, Pahang.

Serbuan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit I (WPKL) kira-kira pukul 7.15 malam, 13 Julai lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah JKDM, Norlela Ismail berkata, pihaknya menyita lebih 1.2 juta batang rokok bernilai RM203,120.

“Rampasan ini membabitkan jumlah cukai dan duti dianggarkan berjumlah RM766,880.

“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam. 

“Kita juga percaya bekalan ini diperoleh dari negara jiran dan diseludup masuk melalui ‘jalan tikus’.

“Pengimportan rokok adalah dibenarkan dengan syarat lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019,” katanya dalam sidang akhbar Kompleks Kastam, Kelana Jaya di sini, hari ini.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport atau mengeksport apa-apa barang tidak berkastam atau larangan import di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“Orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut. 

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Beri kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan di talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat di semua negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×