KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tetap dengan pendirian mahu rayuan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun dan dua kali sebatan bagi kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram terhadap dirinya kekal dibicara di mahkamah.
Malah bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) itu tidak akan sesekali meminta kes tersebut digugurkan.
Penegasan itu dibuat kerana percaya kepada sistem perundangan yang adil serta berpegang pada prinsip berani kerana benar.
“Saya betul-betul berdoa supaya kes saya ini akan dipercepatkan dan akan melalui proses keadilan yang seadilnya.
“Jika mahu dibandingkan dengan ahli-ahli politik lain, saya tidak pernah sekali pun memohon kes digugurkan. Kalau ikut cara paling mudah kes ini melibatkan dana Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) semasa kerajaan PN (Perikatan Nasional). Kalau saya mahu kes ini digugurkan, senang sahaja boleh cakap, saya yang mengasaskan Bersatu tetapi tidak buat, saya lawan.
“Ketika itu saya sokong kepemimpinan PH (Pakatan Harapan). Boleh tanya Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), pernah atau tidak saya bincang untuk minta tolong, sekalipun tidak pernah. Bukan hanya kepada beliau tetapi orang yang terdekat dengannya pun tidak pernah kerana saya mahu diadili di dalam mahkamah,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Pada 9 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan terhadap Syed Saddiq selepas disabit dengan empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang.
Beliau yang ketika itu berperanan sebagai Menteri Belia dan Sukan dari 2018 hingga 2020 didakwa bersubahat melakukan pecah amanah dengan menyalahguna dana RM1 juta bersama bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Rafiq Hakim Razali.
Bagi pertuduhan kedua di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, beliau didakwa menyalahguna harta untuk diri sendiri berjumlah RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu.
Sementara bagi dua pertuduhan lain di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), beliau didakwa melakukan aktiviti pengubahan wang haram dengan pindahkan wang masing-masing bernilai RM50,000 dari akaun Maybank Islamic Berhad ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya di sebuah bank di Johor Bahru pada 16 Jun 2018.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menyatakan tiada permohonan bagi penangguhan kes sebagaimana kelaziman dilakukan ahli politik lain, sekali gus menjadi faktor proses mahkamah dihadapinya berjalan lancar dan cepat.
“Kes libatkan mahkamah biarlah ia dihujah dalam mahkamah, bukannya saya buat secara tertutup. Peguam saya pun sudah berhujah dalam mahkamah termasuk dengan rakaman suara. Bukan main-main tetapi disahkan betul, bukan tipu bahawa saya perlu tandatangan SD (akuan bersumpah). Bila urusan mahkamah, biarkan ia kekal urusan mahkamah.
“Sampai minit-minit terakhir saya tidak pernah berganjak pun, orang ingin runding, saya kata, tidak akan berunding tentang isu keadilan sebab tidak adil bagi saya mendapat kelonggaran sebegini sedangkan orang biasa di jalanan yang melalui proses kehakiman tidak dapat standard yang saya lalui,” katanya. – UTUSAN










