GEORGE TOWN : Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah mengambil tindakan segera selepas mendapati feri Pulau Kapas yang ditambat di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) karam awal pagi tadi.
Pengerusinya, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, antara tindakan yang diambil termasuk menambah tali mengikat feri atau ‘mooring lines’ serta memasang ‘iol boom’ bagi mencegah sebarang tumpahan minyak dari bilik enjin selepas laporan mengenai kejadian itu diterima kira-kira pukul 3.26 pagi.
“Feri yang ditambat di Dermaga 2, PSAH ini telah mengalami kebocoran dan tidak lagi boleh dibuat pembaikan.
“Penyiasatan yang telah dilaksanakan pada awal pagi mendapati feri Pulau Kapas karam separuh bahagian sahaja memandangkan air laut masih surut.
“Dalam hal ini, SPPP telah mengambil tindakan segera dengan menambah tali mengikat feri (mooring lines) serta memasang ‘iol boom’ bagi mencegah sebarang tumpahan minyak dari bilik enjin,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, feri Pulau Kapas yang dibina pada tahun 1981 itu telah ditamatkan operasinya sejak 31 Mei 2020 sebelum feri tersebut ditempatkan di PSAH.
“Feri Pulau Kapas telah diserahkan kembali kepada SPPP oleh Prasarana Malaysia Berhad pada 1 Januari 2021,” katanya.
Dalam pada itu, Soon Hin yang mengimbas kembali rentetan mengenai feri-feri ikonik berkata, pada tahun 2021, SPPP telah memajak feri-feri ikonik ini termasuk feri Pulau Kapas kepada beberapa syarikat yang berkelayakan untuk menjadikan feri-feri ini sebagai produk pelancongan di Pulau Pinang.

“Namun begitu, hasrat untuk menjadikan feri Pulau Kapas ini sebagai sebuah restoran terapung tidak dapat direalisasikan memandangkan terdapat ketidakpatuhan pemajak terhadap perjanjian pajakan dan pajakan telah ditamatkan pada Februari 2023.
“Selain itu, SPPP juga menerima beberapa pelawaan daripada beberapa syarikat untuk membeli dan menyewa feri-feri ikonik namun isu utama adalah berkaitan kos keseluruhan yang tinggi dan cadangan lokasi penempatan feri yang
tidak sesuai,” katanya.
Justeru, ujar beliau, SPPP memutuskan untuk melupuskan feri-feri ikonik dengan kadar segera.-UTUSAN










