PETALING JAYA: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menunjukkan satu isyarat penting rakyat terhadap pentadbiran negara terutama membabitkan prestasi dan penerimaan segala dasar serta polisi diketengahkan selama ini.
Malah Pakatan Harapan (PH) yang menghormati keputusan tersebut mengambil kekalahan dengan penuh tanggungjawab sebagai isyarat untuk terus bermuhasabah dan mengingatkan pemimpin supaya tidak boleh terlalu selesa serta kerja-kerja untuk meyakinkan rakyat tidak boleh terhenti.
Bagi pembangkang, kekalahan PH kepada Perikatan Nasional (PN) adalah satu referendum atau isyarat bahawa rakyat menolak kerajaan khususnya di saat mereka terbeban akibat kenaikan kos sara hidup.
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya menerima keputusan itu sebagai satu tekad untuk bermuhasabah dan melakukan perubahan demi masa depan Pulau Pinang dan Malaysia yang lebih baik.
Bagaimanapun, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang itu, apa yang mendukacitakan adalah kewujudan serangan perkauman sempit dan fitnah jahat yang dilempar pihak lawan dalam PRK berkenaan bagi mempengaruhi sentimen pengundi.
“Apapun, kita harus berusaha bagi membawa kembali perdebatan, penerangan serta usaha penyelesaian yang tertumpu kepada isu-isu pokok. Antaranya kebajikan rakyat, pendidikan anak-anak, pembangunan infrastruktur serta kelangsungan hidup yang mengimbangkan keperluan seberang dan juga pulau,” katanya.
PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan PN kekal menguasai kerusi itu apabila calonnya, Abidin Ismail memperoleh kemenangan selesa pada hari pengundian Sabtu lalu menewaskan calon PH, Dr. Joohari Ariffin dengan majoriti 4,267 undi.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu adalah terjemahan daripada suara rakyat terhadap apa yang berlaku khususnya di Sungai Bakap.
Pengerusi PH Pulau Pinang itu melihat penolakan rakyat berhubung isu di peringkat nasional, negeri dan setempat turut menyumbang kepada kurangnya keyakinan pengundi terhadap cara kerajaan menyelesaikan isu terbabit.
“Keputusan ini adalah satu terjemahan suara rakyat terhadap apa yang berlaku di sini dan Perpaduan akan melakukan post-mortem terhadap keputusan ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, punca kekalahan calon Kerajaan Perpaduan tersebut perlu dikaji.
“Kekalahan dengan majoriti lebih besar, banyak sebab, sebab-sebab semasa, kita semua tahu ia penyebab utama untuk pengundi membuat keputusan, apabila pilihan raya banyak dipengaruhi oleh isu-isu yang dimainkan,” katanya. – UTUSAN










