SELAYANG: Pengurusan sekolah diingatkan supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sekolah adalah milik masyarakat, justeru pihaknya meraikan apa sahaja bentuk sumbangan atau pendanaan awam seperti yang telah digariskan.
Menurutnya, garis panduan itu untuk memastikan semua perkara berkaitan sumbangan dapat dimanfaatkan oleh sekolah-sekolah.
“Jadi, nasihat saya, patuhi garis panduan tersebut dan sekolah mesti memastikan tanggungjawab itu ada di peringkat pentadbir bagi membolehkan semuanya berjalan lancar.
“Saya tidak fikir mekanismenya begitu sukar atau tidak begitu mendatangkan mudarat pun kepada mana-mana sekolah, kita masih mengalu-alukan sumbangan tetapi berbalik kepada garis panduan sahaja.
“Kita ada mekanisme yang kita boleh mengharmonikan keadaan itu supaya mesej yang kita hendak sampaikan adalah mesej pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Peringkat Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM) 2023 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, isu sumbangan daripada syarikat arak yang tular baru-baru ini masih dalam siasatan pihaknya.
Bagaimanapun, tegas beliau, siasatan itu tidak menjurus kepada tindakan atau hukuman sebaliknya untuk membolehkan KPM memberikan bimbingan kepada pengurusan sekolah.
“Kita sedang jalankan siasatan, mana-mana yang berkaitan dalam isu itu dalam radar kitalah. Ia untuk memastikan kalau ada masalah berkaitan garis panduan, kita hanya hendak berikan bimbingan sahajalah, tidak ada isu.
“Garis panduan kekal tetapi bimbingan KPM akan berikan kepada sekolah dari semasa ke semasa,” katanya.
Ahad lalu, satu majlis amal anjuran sebuah sekolah rendah Cina mencetuskan kontroversi apabila menerima sumbangan daripada sebuah syarikat minuman keras. – UTUSAN










