IPOH: Kesiapsiagaan menghadapi bencana perlu dijadikan budaya berterusan dan bukannya hanya dipertingkatkan apabila sesuatu musibah berlaku.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, persiapan menghadapi bencana bukan sekadar tindakan bermusim, sebaliknya perlu diterapkan dalam cara kerja agensi berkaitan dan kehidupan seharian masyarakat.
Katanya, keselamatan dan nyawa rakyat tidak boleh dipertaruhkan hanya kerana persiapan dilakukan selepas bencana berlaku.
“Jangan tunggu bencana untuk belajar bersedia. Jangan tunggu kehilangan untuk mula bertindak bersama.
“Kita mesti mengurangkan risiko sebelum musibah, melindungi rakyat ketika bencana dan membantu mereka bangkit selepasnya.
“Jadikan kesiapsiagaan sebahagian daripada cara kita bekerja dan cara kita hidup, kerana nyawa rakyat terlalu berharga.
“Justeru, saya mahu setiap negeri menterjemahkan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 kepada pelan tindakan mengikut risiko setempat, dengan tanggungjawab agensi dan sasaran pelaksanaan yang jelas. Dasar ini mesti benar-benar menghasilkan perlindungan yang menyeluruh kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2026 di Pusat Konvensyen Ipoh, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim.
Ahmad Zahid berkata, penyampaian maklumat yang jelas dan tepat pada masanya juga penting bagi memastikan tindakan menghadapi bencana dapat dilaksanakan secara berkesan.
Katanya, penyelarasan tindakan antara agensi perlu diberi perhatian supaya rakyat mengetahui langkah yang perlu diambil, komuniti memahami cara untuk membantu manakala agensi berkaitan dapat bertindak tanpa berlengah.
“Kesiapsiagaan mesti melindungi dua nilai penting iaitu nilai kehidupan dan nilai ekonomi. Kita mahu menyelamatkan nyawa, di samping melindungi kediaman, mata pencarian dan hasil usaha rakyat.
‘Di sinilah letaknya kepentingan Bulan Kesiapsiagaan Nasional dalam membina keupayaan untuk melindungi kedua-duanya sebelum sebarang musibah melanda,” katanya.
Tambah beliau, Jabatan Perangkaan Malaysia merekodkan kerugian akibat bencana di negara ini mencecah RM636.9 juta pada 2025 termasuk RM380.2 juta melibatkan aset awam dan infrastruktur.
“Meskipun jumlah kerugian itu menurun berbanding RM933.4 juta pada tahun sebelumnya, impak bencana tetap dirasai mangsa yang kehilangan kediaman, terputus sumber pendapatan dan terpaksa membina semula kehidupan mereka,” ujar beliau. – UTUSAN











