PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya kerajaan Persekutuan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus meringankan beban hidup rakyat negara ini.
Titah Sultan Ibrahim, baginda juga mahu kerajaan semasa membangunkan Malaysia dengan lebih maju, aman dan makmur.
Sehubungan itu, Seri Paduka bertitah akan melaksanakan tanggungjawab yang diberi dengan jujur, ikhlas dan adil serta penuh timbang rasa kepada semua rakyat Malaysia demi menjaga kesejahteraan dan kedaulatan negara.
“Terlebih dahulu saya ingin menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang memberi kepercayaan dan penghormatan kepada saya untuk memikul amanah dan tugas sebagai ketua negara.
“Insya-Allah, saya akan melaksanakan tanggungjawab yang diberi dengan jujur dan ikhlas dan memerintah dengan adil dan saksama serta penuh timbang rasa kepada semua rakyat jelata.
“Saya berharap, kerajaan akan terus berusaha meringankan beban hidup rakyat dan membangunkan negara dengan lebih maju dan makmur,” titah Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara hari ini.
Pada masa sama, Sultan Ibrahim merakamkan setinggi penghargaan di atas keberangkatan Raja-Raja Melayu dan wakil-wakil, Raja Bahrain, Sheikh Hamad Isa Al Khalifa dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiach di Istana Negara hari ini.
“Kehadiran (Raja Bahrain dan Sultan Hassanal) hari ini juga menandakan hubungan erat yang kita kongsi.
“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT, semoga Malaysia akan terus maju dan makmur serta seluruh rakyat kekal hidup bersatu-padu, aman sentosa dan bahagia,” titah Seri Paduka.-UTUSAN











