KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berkaitan dakwaan salah guna dana membabitkan syarikat Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp). dengan memasuki Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dan pusat itu.
Menurut sumber, pasukan khas SPRM hadir ke Kesuma dan HRD Corp. untuk mendapatkan beberapa dokumen berkait pelaburan dan lain-lain.
“SPRM akan meneliti sejauh mana kesahihan pelaburan yang dibuat dan apakah ia dibenarkan.
“SPRM akan meneliti terlebih dahulu dokumen yang diperoleh sebelum tindakan lanjut termasuk rekod keterangan saksi berkaitan dibuat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan kehadiran pasukan siasatan ke dua lokasi terbabit.
Terdahulu, seramai 10 individu dipercayai pegawai penyiasat SPRM tiba di pejabat HRD Corp. di Jalan Beringin di sini.
Lima pegawai yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita itu tiba pada pukul 11.30 pagi menaiki dua kenderaan berasingan.
Kemudian, lima lagi individu dalam kenderaan berasingan tiba pada 12.20 tengah hari.
Difahamkan, kehadiran kesemua pegawai penyiasat itu bagi mengambil dokumen berkaitan isu kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.
Setakat pukul 4 petang ini, kesemua pegawai tersebut masih berada di pejabat HRD Corp dipercayai bagi mengambil dokumen berkaitan.
Sementara itu, seramai enam pegawai SPRM tiba di bangunan Kesemua pada pukul 11.20 pagi sebelum dilihat keluar dari bangunan itu sejam kemudian.
Difahamkan, pasukan SPRM mahu mendapatkan dokumen berkaitan di pejabat Cawangan Kawal Selia dan Penguatkuasaan di aras tujuh bangunan itu.
Sabtu lalu, SPRM mengesahkan telah menerima laporan audit yang dikemukakan Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Seri Khairul Dzaimee pada 5 Julai lalu.
Beliau dilaporkan berkata, berasaskan laporan audit tersebut, pihaknya telah mengenal pasti beberapa isu yang memerlukan dokumen dan keterangan daripada pihak yang terlibat.
“Antaranya isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian harta dan sebagainya. Oleh itu, satu pasukan khas telah dibentuk dan beberapa kertas siasatan telah dibuka.
“Selasa ini pasukan penyiasat akan pergi ke kementerian sumber manusia dan HRDC bagi mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan,” katanya.
Katanya, beberapa individu telah dikenal pasti dan akan diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Siasatan akan dijalankan dibawah Akta SPRM 2009 dan kesalahan di bawah Seksyen 18 dan 23 Akta ASPRM 2009.
Khamis lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan Program Latihan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan yang bukan merupakan matlamat penubuhan agensi itu.
Berikutan itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, Khairul Dzaimee dan Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood membuat laporan kepada SPRM selaras dengan syor Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi di dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Steven Sim menegaskan kementeriannya tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.
Jumaat lalu, Khairul Dzaimee dilaporkan berkata, laporan itu diserahkan kepada SPRM pada pukul 11 pagi selaras syor dikemukakan dalam LKAN supaya kementerian melaporkan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan.
“SPRM beri jaminan siasatan adil dan profesional akan dilaksana segera (berhubung isu ini),” katanya.
Ditanya terdapat pegawai HRD Corp digantung susulan penemuan LKAN, Khairul Dzaimee memaklumkan tindakan itu hanya dilakukan sekiranya pihak kementerian menjalankan siasatan dalaman terhadap kes berkenaan.
“Oleh kerana ini siasatan oleh SPRM, tidak perlu mana-mana pegawai ditahan tugas atau digantung sementara,” katanya. – UTUSAN










