Speaker tidak khilaf buat keputusan - Dr. Zulkafperi - Utusan Malaysia

Speaker tidak khilaf buat keputusan – Dr. Zulkafperi

Speaker
ZULKAFPERI HANAPI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak khilaf membuat keputusan tiada berlaku kekosongan kerusi enam bekas ahli Parlimen Parti Bersatu yang digugurkan keahlian mereka.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi berkata, keputusan itu membuktikan beliau dan lima yang lain tidak keluar daripada parti itu namun dipecat.

“Kuasa (pengosongan kerusi) memang berada pada Speaker (Dewan Rakyat) dan beliau mengambil kira pelbagai aspek termasuk Akta Anti Lompat Parti itu sendiri. Kami berenam (Ahli Parlimen) secara jelasnya tidak melompat parti,” katanya kepada pemberita, harin ini.

Tambah beliau, pertimbangan itu diteliti sebaik mungkin dan mengambil kira arahan mengikut Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu.

“Jika pihak sana (Bersatu) tidak berpuas hati, mereka masih mempunyai ruang membawa perkara itu ke mahkamah,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan enam bekas ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan pihaknya telah menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenai keputusan tersebut lewat petang kelmarin.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, pihaknya akan mengambil langkah susulan termasuk melantik pakar perundangan bagi mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan parti tersebut.

Selain Zulkafperi, semua ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Tindakan mereka mencetuskan polemik berpanjangan selepas mereka menyatakan sokongan kepada Anwar.

Bersatu sebelum ini turut menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi itu kepada Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN