SANDAKAN: Selepas penahanan dua beranak yang disyaki terlibat dalam pengeluaran pas lawatan IMM13 pada Sabtu, dua lagi tahanan terbaharu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, hari ini.
Hari ini, SPRM menahan reman dua pegawai agensi penguat kuasa kerana disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan.
Perintah reman selama enam dan tujuh hari masing-masing dikeluarkan terhadap kedua-dua suspek berusia 30-an hingga 50-an.
Menurut sumber, terdahulu kedua-dua suspek lelaki telah ditahan kira-kira pukul 5.30 petang hingga 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan dan Tawau.
“Tangkapan terbaharu ini adalah susulan daripada tangkapan dua beranak berkaitan kes yang sama pada Jumaat lalu.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang direman hari ini dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak 2022 dan ia melibatkan nilai rasuah kira-kira RM20,000.
“Kedua-dua suspek juga dipercayai melakukan perbuatan tersebut bersama orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM13 kepada pelarian Filipina yang datang berlindung di Sabah akibat pergolakan sekitar awal 1970-an,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. –UTUSAN










