MEDIA sosial seperti TikTok, Instagram, Facebook dan YouTube kini menjadi pentas hiburan yang sangat berpengaruh.
Melalui platform ini, seseorang mampu menghasilkan kandungan dan meraih perhatian jutaan penonton dalam masa singkat. Namun, di sebalik perkembangan tersebut, muncul kandungan lawak yang semakin kehilangan batas kesopanan. Perbuatan menghina, mempermalukan atau mempermainkan kelemahan orang lain mula dianggap sebagai hiburan biasa.
Pada asasnya, lawak mempunyai nilai positif. Masyarakat kita juga sejak dahulu kaya dengan humor yang halus, berkias serta sarat kebijaksanaan. Namun, sebahagian pencipta kandungan memilih pendekatan sensasi kerana menganggap sesuatu yang keterlaluan lebih mudah menarik tontonan dan menjadi tular.
Antara kandungan yang membimbangkan ialah penghinaan terhadap rupa, pekerjaan, pendidikan, keluarga, loghat atau latar belakang seseorang. Individu yang menjadi sasaran mungkin kelihatan tenang di hadapan kamera tetapi kesannya terhadap emosi dan maruah tidak dapat diketahui. Ejekan penonton di ruangan komen pula boleh menjadikan penghinaan tersebut semakin terbuka.
Lebih serius, ada kandungan yang menggunakan unsur dengki, khianat dan fitnah sebagai bahan hiburan. Kejayaan atau kehidupan seseorang dijadikan sasaran sindiran, manakala konflik sengaja diwujudkan untuk meningkatkan tontonan. Lawak yang dibina atas penderitaan orang lain bukan hiburan yang sihat.
Rakaman di alam maya boleh kekal lama dan memberi kesan kepada maruah serta masa depan mereka. Orang dewasa sepatutnya melindungi golongan ini, bukannya menjadikan mereka alat untuk mendapatkan pengikut atau keuntungan.
Wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU), pekerja bawahan dan masyarakat daripada latar budaya berbeza turut tidak terkecuali daripada menjadi bahan jenaka. Keadaan fizikal, status kehidupan atau perbezaan mereka tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk merendahkan martabat. Masyarakat beradab seharusnya menunjukkan rasa hormat, khususnya kepada golongan yang mudah dipinggirkan.
Kesan kandungan sedemikian terhadap generasi muda juga tidak boleh dipandang ringan. Kanak-kanak dan remaja banyak belajar melalui perkara yang mereka tonton. Apabila ejekan, penipuan dan bahasa kasar mendapat perhatian serta tanda suka, mereka mungkin menganggapnya sebagai tingkah laku yang normal. Akhirnya, populariti dilihat lebih penting daripada budi bahasa.
Jenaka yang baik tidak memerlukan mangsa. Kreativiti, pemerhatian terhadap kehidupan dan kebijaksanaan menggunakan bahasa mampu menghasilkan hiburan yang menghiburkan tanpa merendahkan sesiapa. Kebebasan berkarya pula bukan lesen untuk mengabaikan kesan terhadap orang lain.
Pencipta kandungan perlu melakukan penilaian sebelum memuat naik sesuatu bahan. Ibu bapa pula hendaklah membimbing anak memahami perbezaan antara hiburan sihat dengan kandungan yang menghina. Guru boleh memperkukuh literasi digital, adab komunikasi dan tanggungjawab sosial dalam kalangan murid.
Pengendali platform juga mempunyai tanggungjawab untuk menangani kandungan yang mengeksploitasi kanak-kanak, mengaibkan individu, menggalakkan kebencian atau membuli. Sistem pelaporan perlu mudah digunakan, manakala tindakan terhadap pelanggaran hendaklah telus dan konsisten.
Masyarakat turut menentukan kandungan yang terus mendapat tempat. Setiap tontonan, perkongsian dan tanda suka merupakan bentuk sokongan.
Budaya digital perlu dibina atas kreativiti tanpa penghinaan, hiburan tanpa eksploitasi serta teguran tanpa mengaibkan. Generasi muda memerlukan contoh yang baik supaya mereka membesar dengan kesantunan, tanggungjawab dan rasa hormat terhadap sesama manusia.-UTUSAN
MINHAT DAUD
Batu Pahat, Johor











