SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan meneliti terhadap sebarang bantahan dan penjelasan dikemukakan berhubung penilaian cukai harta yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, proses bantahan adalah dibenarkan selaras dengan Seksyen 142(2)Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
“Segala bantahan hendaklah disiasat dan mereka yang membuatnya hendaklah diberi peluang untuk didengar dalam penyiasatan itu. Sama ada mereka sendiri (yang membantah) atau melalui ejen yang diberi kuasa,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung proses untuk meneliti dan menimbangkan bantahan yang dikemukakan pemilik harta atau pegangan terhadap kenaikan mendadak nilaian dan cukai pintu tahunan pihak berkuasa tempatan.
Amirudin yang juga ADUN Sungai Tua itu menjelaskan, antara proses yang perlu dilakukan sebelum senarai nilaian baharu 2020 disahkan kerajaan negeri adalah penerimaan semua bantahan secara bertulis daripada penduduk.
“Proses kedua, kesemua bantahan disiasat atas alasan yang dinyatakan di bawah Seksyen 142(1) akta sama. Proses seterusnya, pemunya akan diberi peluang untuk didengar dalam penyiasatan itu sama ada secara sendirian atau ejen yang diberi kuasa,” ujarnya.
Walau bagaimanapun katanya lagi, bagi pemilik atau pemegang harta di Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) senarai nilaian baharu tahun 2020 telah berkuatkusa pada 1 Januari 2024 kerana senarai tersebut disahkan kerajaan negeri pada Disember tahun lalu. – UTUSAN










