Seribu kenangan Stadium Shah Alam - Utusan Malaysia

Seribu kenangan Stadium Shah Alam

Kenangan stadium
SAFIE Basha bergambar di hadapan Stadium Shah Alam yang dirobohkan bermula Isnin lalu, di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Stadium Shah Alam yang pernah menjadi rumah kedua bagi pasukan bola sepak kebangsaan dianggap sama bagi peminat-peminat sukan itu khususnya bagi pasukan The Red Giant, suatu ketika dahulu.

Menurut seorang usahawan, Safie Basha, 40, dia bersama rakan-rakannya amat gemar dengan sukan bola sepak dan sanggup menghadiri hampir kesemua perlawanan pasukan kegemarannya, Selangor FC dan Harimau Malaya.

“Setiap kali ada permainan melibatkan pasukan Selangor saya akan turun menyokong. Tidak kira hujan atau cuaca baik.

“Pendek kata Stadium Shah Alam sudah menjadi rumah kedua saya bersama rakan-rakan. Bila saya dengar ia sudah mula dirobohkan sedih juga tetapi memang juga hendak tengok usaha pemerkasaan pasukan The Red Giant dan melihat perubahannya di stadium baharu nanti,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, tinjauan Utusan Malaysia di persekitaran pekarangan stadium mendapati kawasan tersebut sudah pun ditutup dengan pagar zink bagi tujuan keselamatan semasa kerja-kerja perobohan Stadium Shah Alam.

Malah, kelihatan beberapa kenderaan di jalan raya sekitar Seksyen 13 itu memperlahankan kenderaan bagi melihat keadaan stadium ikonik itu serta kerja-kerja perobohan yang sedang dilakukan.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan stadium yang dibina pada tahun 1994 itu mula menjalani proses perobohan untuk memberi laluan kepada pembinaan kompleks yang baharu merangkumi stadium, bangunan komersial dan hotel.

Sementara itu, bagi seorang kakitangan Pusat Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Saiful Rahmat, 41, kenangan manis menyaksikan perlawanan-perlawanan bola sepak pasukan Selangor pada waktu kecil sejauh 60 km dari rumah masih terpahat di minda hingga saat ini.

“Lebih menimbulkan nostalgia, saya pernah mempunyai pengalaman belajar di Stadium Shah Alam pada tahun 2002 ketika UiTM menjadikan stadium ikonik tersebut sebagai fakulti sementara untuk Sains Sukan dan Rekreasi.

“Sebagai penggiat sukan, memang akan berasa sedih apabila Stadium Shah Alam akan diruntuhkan tetapi jika melihat dari sudut yang positif, kita haruslah mengikut kepada peredaran masa dan juga pembaziran yang sedang dialami,”katanya di sini hari ini.

Bagi seorang kakitangan Kolej MARA Banting, Wan Hafizi Wan Kamaluddin, 41, pula, Stadium Shah Alam banyak meninggalkan kenangan, namun tidak sabar melihat stadium baharu apabila siap nanti.

“Tidak sabar untuk melihat wajah baharu Stadium Shah Alam sebagai KSSA dalam masa beberapa tahun lagi. Stadium Shah Alam dirobohkan dan diganti baharu namun kenangan tetap terpahat dalam ingatan selamanya,” ujarnya.

Sementara penyokong kuat The Red Giant dari Meru Klang, Mohd.Khairul Idzwan,42, memberitahu mahu melihat pembinaan KSSA daripada sudut positif kerana rindukan aksi pasukan negeri ini di Shah Alam semula.

“Sukan bola sepak dan stadium tidak boleh dipisahkan. Peminat rindukan suasana meriah setiap kali perlawanan berlangsung. Kita perlukan perubahan untuk menyaksikan aktiviti bola sepak kembali menyatukan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN