SANDAKAN: Sentimen anti-Malaya yang dimainkan pihak tertentu bagi menghasut rakyat menolak UMNO mencerminkan pemikiran ekstrem yang tidak memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dakwaan menyatakan UMNO sebagai parti Semenanjung cuba merebut hak-hak rakyat Sabah adalah satu tanggapan yang terlalu prejudis dan boleh merencatkan konsep Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, sudah 33 tahun UMNO bertapak di Sabah dan dipimpin oleh pemimpin tempatan termasuk beliau yang merupakan penduduk asal negeri ini.
“Sebenarnya orang yang bercakap ini mulut celupar, maka jangan kita terlena dengan hasutan dan juga kebencian daripada musuh-musuh kita. Di Sabah, kita dalam UMNO cuba berbaik dengan semua orang dan juga dengan semua parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sentimen politik sedemikian adalah keterlaluan dan boleh menimbulkan isu perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan di negara ini.
“Rakyat di negeri ini perlu belajar daripada sejarah. Semasa ada kaum ditekan sehingga beberapa pemimpin Sabah termasuk yang kini berada dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meminta UMNO mengembangkan sayap ke Sabah demi kestabilan politik pada masa itu,” katanya.
Justeru, rakyat Sabah diingatkan agar tidak terpengaruh dengan dakyah parti-parti tempatan dalam GRS yang kononnya memperjuangkan nasib rakyat Sabah. – UTUSAN










