PUTRAJAYA: “Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan menyemak kesahihan sumber ilmu Islam yang diperoleh di media sosial.”
Teguran itu diberikan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/ 2024, Datuk Seri Hassan Ahmad yang menegaskan, semakan itu penting bagi mengelak menerima ilmu dari sumber tidak dipercayai yang boleh menimbulkan keraguan.
“Saya setuju (menjunjung kasih) titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di mana sumber ilmu ini perlu diambil serius.
“Ketika ini, macam-macam sumber mereka letak (dalam media sosial), sebab itu kita kena pastikan (ilmu agama) yang kita ambil itu adalah sumber diyakini dan sahih,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446H/2024M di sini, semalam.
Hassan yang juga bekas Mufti Pulau Pinang berkata, titah itu perlu diambil serius oleh setiap rakyat agar tidak berlaku perpecahan dalam masyarakat berbilang kaum, agama serta budaya di negara ini.
“Titah Sultan Ibrahim memang bertepatan dengan dengan keadaan semasa. Jangan kita cuba memecah belah masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Prof Dr Ali Muhyidddin Ali Al-Qaradaghi berkata, beliau komited untuk terus menyumbang kepada Malaysia dalam pelbagai aspek terutama dari segi pembangunan ekonomi dan kewangan Islam.
“Saya bersedia memberikan perkhidmatan ilmu kepada rakyat dan negara ini termasuk berkaitan ekonomi Islam bermula dengan ilmu, sistem dan penganalisaan eknomi.
“Saya yakin Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu mengeluarkan satu model ekonomi Islam di zaman ini,” katanya. – UTUSAN











