SEMASA melalui kawasan Kolam Biru di ibu negara, terus terlintas di fikiran apa yang tidak kena dengan pelaksanaan projek mega Sungai Nadi Kehidupan (RoL) sehingga gagal siap mengikut tempoh ditetapkan pada tahun ini?
Apakah punca komponen projek yang bertujuan memberi nafas baharu kepada kuala Sungai Klang dan Sungai Gombak itu tertangguh sehingga 2,227 hari?
Kolam Biru yang berada di kawasan pertembungan antara Sungai Klang dan Sungai Gombak hanya sebahagian daripada komponen projek RoL, dibuka kepada orang ramai pada 2017 sebagai tarikan pelancong di Kuala Lumpur.
Semasa diperkenal pada 2010 dengan kos siling RM4.363 bilion, RoL mengidamkan status sebagai ikon tepian air yang dinamik dan berdaya huni dengan nilai ekonomi tinggi.
Pelaksanaan projek pemuliharaan sungai dalam kawasan bandar ini kembali menjadi tumpuan selepas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) baru-baru ini, menjangkakan ia tidak dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan tahun ini walaupun RM3.915 bilion sudah dibelanjakan.
RoL mengandungi tiga komponen iaitu pembersihan sungai, pengindahan sungai serta pengkomersialan dan pelancongan, namun tiada satu pun dicapai sepenuhnya.
Status terkini projek itu sudah mencapai tahap 81 peratus. Namun apa yang mengejutkan, baki yang tidak disiapkan sudah tertangguh sejak 2018.
Model perniagaan yang tidak komprehensif disenaraikan sebagai antara punca menyebabkan penyenggaraan dan aktiviti RoL masih bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan.
Kekurangan ini juga menyebabkan aset RoL tidak disenggara sewajarnya, terbiar, rosak dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Pengauditan juga menemukan kelemahan dalam aspek tatakelola projek merangkumi perancangan, pemantauan perbelanjaan, penyediaan reka bentuk, pelantikan perunding dan pelaksanaan projek.
Setelah lebih sedekad projek itu berjalan dan sejumlah RM3.915 bilion dilaburkan setakat ini, banyak pihak mahu ia diteruskan. Apatah lagi ia hanya berbaki 19 peratus untuk siap.
Sepertimana kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, satu kerugian kalau tidak meneruskannya kerana kita tahu sekiranya projek RoL ini siap, ia memberikan pulangan yang besar kepada kerajaan.
Namun, sebelum peruntukan dibelanjakan, semua pihak yang terlibat perlu memastikan tiada pembaziran lagi untuk menyiapkan projek ini. Semua kelemahan yang dikenal pasti perlu dibaiki.
Aspek pengurusan dan pelaksanaan mesti ditingkatkan. Pada masa sama, sebuah badan pengawasan bebas perlu diwujudkan untuk memantau kemajuan projek dan pengurusan kewangannya.
Kelak, kita tidak mahu projek bermasalah ini hanya indah khabar dari rupa. Sungai Klang dan Lembangan Sungai Gombak perlu nadi baharu untuk menyempurnakan perubahan yang direncanakan ke atasnya. – UTUSAN










