Sampah ancam hidupan marin

Sampah ancam hidupan marin

ROSNANI Nazri meninjau sampah-sarap yang memenuhi kawasan pesisir Pantai Keria, Sungai Padang, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ancaman atau pencemaran sampah tidak boleh dipandang ringan khususnya di perairan dan pantai negara ke­rana dikhuatiri bakal menyebabkan hidupan marin terancam sekali gus mengundang kepupusan.

Kesan awal daripada masalah berkenaan dapat dilihat apabila sebelum ini sudah terdapat banyak kes ikan lumba-lumba khususnya di perairan negeri ini ditemukan terdampar di pesisiran pantai Kuala Perlis di sini.

Sekitar dua tahun lalu, akhbar ini pernah melaporkan antara ikan lumba-lumba yang ditemukan terdampar ialah jenis Bottlenose, Irrawaddy, Indo Pacific Humpback Finless Porpoise dan Paus Kogia.

Ia sekali gus turut menimbulkan persoalan sama ada perairan di negara ini masih selamat untuk kehidupan marin.

Dalam tempoh lima tahun sa­haja, sebanyak 9,366 kilogram atau 9.3 tan metrik jumlah sampah hanyut khususnya plastik direkodkan di pesisiran pantai Kuala Perlis di sini.

Daripada kajian data dikumpulkan Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass) Perlis dari 2019 hingga 2023 berkaitan sampah hanyut itu, plastik adalah yang terbanyak direkodkan iaitu sebanyak 60 peratus.

Antara sampah lain seperti bahan polimer tiruan merangkumi plastik kecil, botol minuman, straw, polisterin, kepingan plastik dan bekas makanan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Koordinator Grass Perlis, Rosnani Nazri berkata, isu sampah hanyut di perairan bukan perkara baharu termasuk di negeri ini dan jika tidak dibendung bakal memberi ancaman serius kepada masa depan hidupan marin.

ROSNANI NAZRI

Katanya, secara keseluruhan di peringkat global, hanya sekitar 0.5 peratus laut dilindungi dan berbaki kini dengan dijangka menjelang 2048 semua hidupan laut akan kosong.

“Sampah di laut ini bakal memberi kesan atau ancaman kepada hidupan laut seperti ikan, terumbu karang dan lain-lain. Apabila terlalu banyak sisa sampah berbahaya seperti botol kaca yang telah pecah jika dibawa ombak akan menyebabkan hidupan laut ini terjejas.

“Pencemaran laut ini juga berpunca daripada pembuangan pukat, tali dan peralatan plastik oleh nelayan dengan kebanyakkan hidupan laut seperti ikan lumba-lumba, paus dan penyu mati akibat terlekat tali pukat dan jala tersebut.

“Sisa pepejal di perairan juga boleh mengganggu ekosistem rantaian makanan yang bukan sahaja melibatkan ikan lumba-lumba tetapi juga hidupan lain. Apabila sampah terlalu banyak, hidupan ini akan ingat itu adalah sumber makanan,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, dianggarkan sejumlah sembilan bilion tan pelbagai jenis plastik digunakan dan dibuang rakyat Malaysia setiap tahun, sekali gus dilihat menjadi punca utama kepada pencemaran laut dan mengancam kehidupan marin.

Menerusi data Perbadanan Pengurusan Sisa Pe­pejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2022, daripada 210,966 sisa plastik yang dihasilkan, hanya 33.16 peratus dikitar semula.

Perkara ini menyebabkan Malaysia direkodkan berada di tangga kelima tertinggi di dunia dalam isu pencemaran laut iaitu dengan kadar 2.29 kilogram (kg) plastik perkapita digunakan rakyat setiap tahun.

Tambah Rosnani yang juga Pensyarah Kanan Teknologi Marin Lestari, Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, di peringkat global secara keseluruhan, sebanyak 32 peratus jumlah plastik dibuang di kawasan persekitaran.

Sebanyak 40 peratus lagi di tapak pelupusan sampah manakala 14 peratus dibakar secara insinerator yang me­ngundang bahaya pada kesihatan manusia.

Justeru, katanya, kesedaran terhadap isu tersebut pen­ting di mana masyarakat perlu mengambil pendekatan menjalani kehidupan sifar sisa dengan membawa bekas makanan, minuman dan beg sendiri.

Katanya, kajian menunjukkan hanya sekitar 14 peratus bungkusan plastik dikitar semula dan dua peratus dikitar semula secara efektif.

“Kita tidak boleh sekadar membakar, menanam atau mengitar semula sebagai jalan keluar kepada masalah itu. Jadi semua produk dan bungkusan sepatutnya boleh diguna, dibaiki, dikitar semula atau dikompos secara efektif. Dan akhirnya ia bakal menghasilkan kelesta­rian ekonomi kitar­an yang berkesan bagi manusia dan bumi,” kata­nya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN