PETALING JAYA: Mufti Kerajaan Negeri Sabah menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan untuk mentakrif Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan Manhaj akidah al-Asyairah dan Al-Maturidiyah.
Ini kerana, ia mampu memperkukuhkan asas Islam sedia ada malah berupaya mengekang ekstremisme dan radikalisme agama pada masa ini.
Dalam kenyataannya, Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata, beliau bersetuju dengan pendefinisian itu kerana ia selaras dengan pendekatan Jumhur Ulama Muktabar sedunia.
“Pendefinisian ini sudah diwartakan dalam warta Negeri Sabah no 35 pada 7 September 2017 yang menyatakan ahli sunnah waljamaah merujuk kepada majoriti umat Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan para ulama Islam muktabar.
“Oleh itu, umat Islam hendaklah berpegang dengan hal berkaitan dengan akidah dan tauhid, berdasarkan hanya kepada pegangan Imam Abu Hasan al Ash ari dan Imam Abu Mansur al Maturidi,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, RUU Mufti Wilayah Persekutuan untuk mentakrifkan Ahli Sunah Wal Jamaah perlu didukung oleh semua umat Islam.
Mufti Pahang, Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim berkata, pentakrifan itu dibuat daripada sudut akidah yang bersumberkan kepada aliran al-Asyairah dan Al-Maturidiyah.
Walau bagaimanapun, Bungsu berkata, akidah Al-Asya’irah sangat disokong kerana telah terbukti berjaya menjaga keamanan dan keharmonian secara efisien khususnya di negara ini yang majmuk dan sarat dengan kepelbagaian budaya.
“Malah, semangat Persekutuan yang memartabatkan Majlis Raja-Raja sebagai Institusi yang menaungi Agama Islam di Negara ini dengan pendekatan Wasatiyyah,” ujarnya. – UTUSAN










