PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 perlu dibahas dan dibincangkan berdasarkan fakta dan ilmu pengetahuan bukannya dengan emosi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau akui ada pihak menyokong RUU itu namun, masih ada yang menyuarakan pandangan dan hujah secara emosi serta kemarahan.
“Saya berharap dalam kita meraikan hujah yang dikemukakan ramai, biarlah secara akhlak yang betul sebab kadang-kadang saya tengok ada yang emosi, dan kemarahannya,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Agensi Agama Bagi Orang Kurang Upaya (OKU) Muslim 2024-2028 di sini, hari ini.
RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 antara tiga RUU berkaitan hal ehwal Islam dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.
RUU itu antaranya memberi takrifan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang sudut akidahnya bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah.
Bagaimanapun, Pas berpandangan RUU terbabit perlu dikaji secara mendalam berikutan terdapat pilihan mazhab dalam Islam.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, RUU itu perlu dikaji secara mendalam kerana berpandangan, semua ulama tidak membenarkan mazhab mereka diisytiharkan sebagai agama negara, sama ada Imam Malik, Imam Syafie mahupun Imam Hambali.
Media sebelum ini juga melaporkan Ahli Majlis Syura Persatuan Guru-Guru Pondok Kelantan, Dr. Muna Hamzan berkata, semua Ahli Parlimen beragama Islam wajib menyokong RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 apabila usul itu dibawa ke Dewan Rakyat nanti.
Muna berkata, RUU Mufti itu mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain. – UTUSAN










