KUALA LUMPUR: Seorang bekas buruh binaan kekal dipenjara 30 tahun dan dikenakan 20 sebatan bagi dua kesalahan merogol seorang penjawat awam serta menakut-nakut mangsa dengan pisau, selepas pulang daripada berbuka puasa di rumah ibunya, tahun lalu.
Hassan Ahmad, 44, turut diperintah menjalani hukuman penjara tiga tahun kerana menceroboh rumah wanita berusia 39 tahun itu. Hukuman bagi ketiga-tiga kesalahan berkuat kuasa secara berasingan.
Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak menolak rayuan duda berkenaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen terhadapnya yang mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan.
Pesuruhjaya Kehakiman Moses Susayan berpuas hati bahawa Hassan selaku perayu gagal membuktikan hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf ketika menjatuhkan hukuman terhadapnya.
Tuduhan pertama, perayu kekal dipenjara 20 tahun dan 10 sebatan kerana merogol mangsa dan menakut-nakutnya dengan pisau di antara pukul 10 malam, 17 April 2023 dan 1.47 pagi, keesokannya di kawasan perumahan penjawat awam di Ipoh.
Tuduhan kedua, dia kekal dipenjara 10 tahun dan 10 sebatan kerana merogol mangsa di antara pukul 5.30 pagi dan 6.30 pagi, 18 April 2023 di tempat yang sama.
Moses berpuas hati Mahkamah Sesyen betul ketika memerintahkan kedua-dua hukuman bagi kesalahan rogol berkuat kuasa secara berasingan berdasarkan kepada keadaan dan keseriusan kes.
Tuduhan ketiga, perayu didakwa menceroboh masuk rumah mangsa dengan niat untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang di antara pukul 10 malam, 17 April 2023 dan 9 pagi keesokannya.
Naratif pendakwaan menyatakan, pada malam kejadian, wanita itu yang pulang dari rumah keluarganya selepas berbuka puasa mendapati unit kediamannya dimasuki orang sebelum diserang oleh seorang lelaki di bilik utama.
Mangsa kemudian bergelut dengan lelaki itu sebelum diacukan pisau di leher dan mengugut untuk membunuhnya jika terus melawan selepas berjaya menikam bahu pelaku. Dia kemudian dirogol sebanyak dua kali.
“Tangan saya diikat dengan wayar kabel pengecas telefom bimbit sehingga saya tidak berdaya untuk melawan, mulut saya turut diikat dengan seluar,” demikian menurut penghakiman bertulis bertarikh 10 Julai lalu yang diperoleh pihak media melalui laman web mahkamah, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan wanita itu sempat melarikan diri dari tempat kejadian dan mengalami kecederaan di kaki akibat terjatuh dari tempat tinggi.
Polis kemudian menahan lelaki itu di rumah mangsa dan merampas beberapa senjata termasuk gunting, pisau dan kuku keluli. – UTUSAN











