RM86.3j laksana Kampung Angkat Madani 

RM86.3j laksana Kampung Angkat Madani 

AMIR HAMZAH - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM86.3 juta daripada keseluruhan RM100 juta peruntukan disalurkan kepada kementerian dan agensi yang terlibat bagi pelaksanaan Kampung Angkat Madani.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia meliputi 35 daripada sasaran 42 kampung di bawah program itu yang diperkenal dalam Belanjawan 2024. 

Katanya, setiap kampung menerima peruntukan maksimum sehingga RM2.5 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek.

“Objektif pelaksanaannya untuk mencari kaedah terbaik dalam memudah cara dan mempercepat pelaksanaan projek kecil di kampung, merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar, melengkapkan kemudahan asas desa terpinggir secara holistik dan mengenal pasti kaedah terbaik penyelesaian masalah.

“Kriteria yang menjadi keutamaan pemilihan sesebuah kampung adalah kampung yang mempunyai liputan kemudahan di bawah 50 peratus atau mempunyai kemudahan asas daif dan tidak lengkap serta memerlukan perhatian khusus bagi melengkapkan keperluan kemudahan asas,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai matlamat utama pelaksanaan Kampung Angkat Madani berbanding dasar sedia ada dan kriteria utama pemilihan kampung berkenaan.

Kata Amir Hamzah, kampung yang terpilih sebagai Kampung Angkat Madani akan dijadikan penanda aras terbaik dalam membantu kerajaan merapatkan jurang antara desa dan bandar.

“Ini termasuk memperkasa ketua mukim atau jawatankuasa kampung dan komuniti setempat melalui pendekatan gotong-royong serta memudahkan tatacara perolehan dan kewangan untuk membantu melengkapkan projek infrastruktur di kampung-kampung yang terpilih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN