PETALING JAYA: Jabatan Audit Negara (JAN) berpendapat projek Pengurusan Projek Sungai Nadi Kehidupan atau River Of Life (ROL) tidak akan berjaya disiapkan pada tahun ini kerana sehingga Julai 2023, 12 projek tersebut masih dalam peringkat prapelaksanaan.
Buat masa ini terdapat lapan projek dalam pelaksanaan manakala kontraktor penyiap belum dilantik bagi dua projek setelah ditamatkan kontrak.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mendedahkan sehingga Disember 2023, RM3.915 bilion telah dibelanjakan daripada RM4.363 bilion yang diperuntukkan atau sekitar 89.7 peratus.
Lebih mengejutkan, laporan itu memaklumkan kelewatan penyiapan bagi tiga projek dan penamatan satu projek pembetungan telah menyebabkan peningkatan kos dianggarkan sehingga RM234.72 juta.
Laporan yang dibuka kepada umum mulai hari ini menunjukkan semua objektif ROL masih belum berjaya dicapai terutamanya untuk meningkatkan kualiti air sungai ke tahap kelas IIB atau yang sesuai disentuh bagi tujuan rekreasi.
“Sebanyak 147 aset pembersihan sungai didapati tidak beroperasi kerana rosak, telah dirobohkan atau tidak boleh digunakan. Tempoh pembaikan aset rosak pula mengambil masa sehingga empat tahun tiga bulan.
“Hanya 50 atau 16.9 peratus daripada 296 loji rawatan kumbahan berjaya dirasionalisasi atau dinaik taraf,” kata laporan itu.
Dalam pada itu, laporan sama memberitahu, kerja pengindahan sungai tidak dilaksanakan di sepanjang 2.2 kilometer (KM) Sungai Gombak dan selain itu, pembinaan dan pembaikan dua unit collapsible weir berjumlah RM33.37 juta tidak berjaya mencapai objektif kerana satu unit tidak beroperasi manakala satu unit lagi tidak berjaya disiapkan.
“Sebanyak 17 kemudahan dengan kos pembinaan RM13.21 juta belum dimanfaatkan,” kata laporan itu.
Justeru itu, LKAN mengesyorkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) hendaklah melaksanakan penilaian semula untuk menentukan sama ada projek masih dalam peringkat pra pelaksanaan perlu diteruskan dengan mengambil kira aspek peruntukan kewangan untuk pelaksanaan dan penyenggaraan projek serta sumbangan projek berkenaan kepada pencapaian objektif ROL.
Antara syor lain adalah JWP dan agensi pelaksana hendaklah meningkatkan pemantauan di tapak supaya projek dapat disiapkan mengikut tempoh dan spesifikasi ditetapkan serta mengelakkan kerajaan terus menanggung peningkatan kos akibat kelewatan projek.
“Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) hendaklah meningkatkan aspek tatakelola projek supaya semua peraturan kewangan serta terma dan syarat kontrak dipatuhi,” katanya.- UTUSAN










