NIBONG TEBAL: Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong memberitahu, calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Abidin Ismail, 56, sangat dikenali dalam kalangan pengundi Cina di Sungai Bakap ketika ini.
Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, mereka menyifatkan Abidin sebagai seorang individu yang sangat merendah diri, namun, mudah untuk diajak berkomunikasi.
“Kalau kita sebut sahaja nama Abidin, semua (pengundi) kata kenal kerana dia merupakan anak jati dari Sungai Bakap. Malah, dia juga merupakan bekas Pegawai Khas kepada ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Sungai Bakap.
“Sepanjang lapan hari berkempen ini, rata-rata penduduk setempat yang ditemui juga sering mengadu kepada beliau (Abidin) dan meluahkan kemarahan mereka (kepada kerajaan) disebabkan kenaikan kos sara hidup termasuk tarif elektrik dan diesel,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Tong Keong berkata, sebagai salah satu parti komponen dalam PN, Gerakan akan terus menggerakkan jentera mereka bagi mendekati pengundi di Sungai Bakap dengan memberi fokus kepada pengundi bukan Melayu terutamanya Cina dan India.
“Kami (Gerakan) memberi tumpuan (ketika berkempen) di pasar-pasar pagi dan kedai kopi selain turut bersama calon (Abidin) untuk berkempen di kawasan yang dihuni oleh pengundi-pengundi Cina dan India.
“Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi (untuk berkempen) dan kami parcaya, dengan wujudnya kerjasama yang baik antara kepimpinan serta jentera PN termasuk parti komponen lain, kemenangan sekali lagi akan memihak kepada kami (PN),” ujar beliau.
Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan berlangsung pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Abidin dengan calon Perpaduan atau Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin. – UTUSAN










