Pusat jagaan autisme di seluruh negara tidak cukup

Pusat jagaan autisme di seluruh negara tidak cukup

Intervensi awal kanak-kanak autisme dapat memberi mereka peluang untuk menjalani kehidupan lebih baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia kekurangan pusat jagaan autisme apabila hanya mempunyai 17 pusat jagaan itu di seluruh negara dengan setiap negeri hanya mempunyai sebuah pusat jagaan.

Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Shahrudin berkata, penjagaan anak-anak autisme di luar bandar amat membimbangkan kerana kekurangan pendedahan dan kaedah yang sewajarnya.

Justeru itu, beliau menyarankan lebih banyak pusat jagaan itu diwujudkan di kawasan luar bandar bagi membolehkan golongan ibu bapa lebih cakna dengan keperluan kanak-kanak autisme.

“Perlu wujudkan lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak autisme di kawasan luar bandar, kalau boleh di setiap daerah agar ibu bapa lebih teratur dalam menjaga anak-anak istimewa itu. Cara itu lebih baik daripada mereka mengurung anak-anak syurga itu hanya kerana tidak mahu mereka membuat kacau atau mengganggu masyarakat setempat.

“Bukan semua ibu bapa dengan anak autisme mempunyai kesedaran tinggi mengenai masalah dan cabaran yang bakal mereka hadapi dan menerusi pusat jagaan ini, sekurang-kurangnya ibu bapa mempunyai idea bagaimana menguruskan anak-anak istimewa berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Laporan akhbar ini pada 17 Jun mendapati sejumlah 25,580 individu di negara ini direkodkan didiagnosis autisme dalam tempoh tiga tahun lepas.

Statistik orang kurang upaya (OKU) aktif subkategori pembelajaran autisme oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu turut menyaksikan peningkatan antara 2021 hingga 2023.

Sejumlah 4,734 kes autisme dicatatkan pada 2021, diikuti 8,489 kes pada 2022 dan 12,357 kes pada 2023.

Terdahulu, media melaporkan ibu bapa yang tidak memiliki ilmu menguruskan anak autisme akan menyebabkan mereka tertekan dan gagal mengendali situasi di luar jangka hingga boleh membunuh golongan istimewa tersebut.

Dalam pada itu, Megat menegaskan kerajaan juga disaran memberi insentif kepada ibu bapa dalam kalangan B40 yang mempunyai anak-anak autisme ekoran yuran bulanan pusat jagaan berkenaan melibatkan kos yang tinggi.

“Kos itu termasuk kepakaran tenaga pengajar, sistem pendidikan dan peralatan membuatkan kosnya tinggi. Ditambah pula seorang tenaga pengajar ditugaskan mengajar tiga orang murid sahaja.

“Ini kerana seorang guru harus beri tumpuan yang tinggi agar anak-anak istimewa dapat dikawal dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, seorang ibu tunggal yang mempunyai anak autisme, Ain Natasha Ayub berkata, dia terpaksa berhenti bekerja sebagai kerani ekoran mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada anaknya yang berusia empat tahun.

“Sejak anak saya disahkan autisme pada usia dua tahun, saya mengambil keputusan berhenti kerja dan hanya berniaga secara kecil-kecilan menjual kek yang dibuat sendiri.

“Saya menetap di Kuala Kangsar, Perak dan mendapati tiada pusat jagaan kanak-kanak autisme di daerah ini dan hanya terdapat di Ipoh. Memandangkan ia jauh dari rumah, saya mengambil keputusan untuk menjaga anak sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan saranan yang menggesa kerajaan supaya memperbanyakkan pusat jagaan keperluan khas di luar bandar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN