BUTTERWORTH : Pulau Pinang menyambut baik minat mana-mana pemaju yang berhasrat membangunkan tanah khusus buat penempatan semula golongan bumiputera di kawasan George Town.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow bagaimanapun berkata, beliau memerlukan maklumat terperinci sekiranya pelan yang diusulkan oleh Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) itu bakal dilaksanakan.
“Kerajaan negeri tidak ada halangan dan menyambut baik sebarang usaha untuk memajukan tanah-tanah yang ada di seluruh negeri (Pulau Pinang) khususnya tanah-tanah bagi golongan bumiputera Melayu seperti yang UDA Holdings Berhad usahakan di Tanjung Tokong dan ia juga boleh dijadikan model di lain-lain presint di negeri ini.
“Mungkin ini cuma satu lontaran idea, namun, pada peringkat ini saya rasa UDA boleh mulakan kajian sama ada kesesuaian tanah untuk dibangunkan dan apakah komponen pembangunan dan sebagainya.
“Kita perlu teliti semua sudut memandangkan di Pulau Pinang, kita ada dasar penempatan penduduk sedia ada, malah, setiap pemaju sudah memahami garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya ketika diminta mengulas berhubung rancangan Pemenang untuk menempatkan semula sehingga 10,000 keluarga Melayu di George Town, Pulau Pinang.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis penutupan Karnival UDA 2024@Penang di sini yang turut dihadiri oleh Pengerusi UDA Holdings Berhad, Tan Sri Mohd Annuar Zaini serta Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu iaitu Datuk Mohd. Salem Kailany.
Sementara itu, Mohd Annuar berkata, pihaknya terpanggil menawarkan peranan kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri untuk menjadi rakan bagi membantu melaksanakan agenda pemilikan hartanah bumiputera terutamanya di kawasan bandar.
“Kita mengikuti kenyataan Pemenang yang berhasrat membangunkan penempatan orang Melayu di negeri ini dan persatuan terbabit turut menyeru penyertaan kami untuk membantu merealisasikan usaha ini,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Pemenang telah merangka pelan lima tahun yang komprehensif untuk membolehkan keluarga Melayu dengan pelbagai latar belakang ekonomi dan kemahiran profesional kembali ke pulau tersebut.
Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, pelan penempatan semula ini akan tertumpu di kawasan Jalan Pattani, Jalan Perak, dan Jalan Sungai Pinang, meliputi kawasan seluas kira-kira 40 hektar.
“Ia akan dikenali sebagai Enclave Melayu, yang akan dilengkapi dengan kawasan perumahan, kawasan komersial, serta masjid, untuk melambangkan identiti Melayu-Islam di George Town.
“Tanah wakaf telah diperuntukkan khusus untuk tujuan ini, yang diwariskan kepada komuniti Melayu Islam oleh Majlis Agama Islam Negeri,” katanya.-UTUSAN










