Program Kecemerlangan Akademik YBR bantu persiapan pelajar SPM, STPM - Utusan Malaysia

Program Kecemerlangan Akademik YBR bantu persiapan pelajar SPM, STPM

SYAIFUL Rizal Abdul Ghani (dua dari kanan) pada majlis perasmian Program Kecemerlangan Akademik di SMK Jelai di Larut. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Kamaruddin dan SMK Jelai di sini mengadakan Program Kecemerlangan Akademik Tingkatan 5 dan 6 bagi membantu persediaan pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.

Program melibatkan 329 pelajar itu memberi pendedahan teknik menjawab soalan peperiksaan terutama subjek teras dan elektif, selain meningkatkan motivasi dan semangat pelajar.

Majlis dirasmikan Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Turut hadir Pengetua SMK Batu Kurau, Efandi Zainuddin; Pengetua SMK Jelai, Hairo Rose Sidi Abu Bakarni; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd. Mukhti Abd. Rahman dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu, Syaiful Rizal berkata, YBR teruja di atas inisiatif yang dijalankan bagi meningkatkan prestasi pendidikan dan akademik pelajar.

Menurutnya, YBR sentiasa mendokong aspirasi pendidikan negara dan program itu mampu memberikan impak tinggi kepada pencapaian pelajar yang akan menduduki peperiksaan serta memberi manfaat kepada semua yang terlibat.

“Program ini diharapkan dapat membantu meningkatkan peratusan pelajar untuk cemerlang dan lulus dalam peperiksaan SPM dan STPM. Secara tidak langsung inisiatif YBR ini dapat meningkatkan lagi prestasi sekolah,” katanya pada majlis perasmian program itu di SMK Jelai.

Menurutnya, bantuan yang disalurkan kepada pihak sekolah memberi peluang kepada pelajar untuk mengulang kaji pelajaran bersama guru.

“Usaha ini antara strategi YBR membantu masyarakat terutamanya dalam bidang pendidikan sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN